Thursday, June 14, 2007

Imam setuju berhenti merokok

BANGI 13 Jun – Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini sebulat suara bersetuju supaya imam di negara ini berhenti merokok.

Dalam satu undian tidak rasmi yang diadakan secara spontan pada sesi dialog selepas pembentangan kertas kerja ketujuh itu, hampir semua imam yang hadir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) itu mengangkat tangan tanda setuju.

Walaupun ia bukan keputusan rasmi muzakarah, Utusan Malaysia difahamkan perkara itu akan dimasukkan sebagai salah satu daripada resolusi pada majlis penutup muzakarah berkenaan Jumaat ini.

Terdahulu, seorang peserta membangkitkan cadangan supaya imam yang merokok menghentikan amalan yang boleh menjejaskan kesihatan itu.

Menurut peserta itu, selain faktor kesihatan, langkah itu juga baik untuk imej imam sebagai pemimpin masyarakat.

Berikutan cadangan itu, pengerusi forum, Mohd. Kamal Mohd. Noor dari Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Perak meminta imam-imam yang hadir di DECTAR mengundi dengan mengangkat tangan jika bersetuju.

Seramai 3,900 imam, kebanyakannya imam-imam pertama masjid di seluruh negara hadir pada muzakarah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu.

Selain forum dan dialog, mereka turut dibawa melawat lokasi menarik dan bersejarah sekitar ibu negara dengan menaiki 80 buah bas.

Muzakarah berkenaan dianjurkan bersama oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Sekretariat Islam Hadhari (Projek Khas Perdana Menteri).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sekretariat berkenaan, Abd. Aziz Abdullah pada sesi taklimat muzakarah itu berkata, tidak mustahil gaji dan elaun imam pada masa depan mencecah sehingga RM8,000 sebulan.

‘‘Imam boleh dianggap sebagai CEO masjid yang mempunyai tanggungjawab berat kerana menguruskan sebuah institusi yang mempunyai aset yang banyak dan ada antaranya bernilai sehingga berpuluh juta ringgit,’’ katanya.

Pada sesi dialog sebelum itu, seorang imam mencadangkan elaun RM450 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dinaikkan seperti kakitangan kerajaan yang bakal menikmati kenaikan gaji mulai bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post