AGAK memeranjatkan apabila mengetahui bekas tunang Mawi, Nor Diana Mohd. Naim atau lebih dikenali sebagai Ina Naim, 23, sudah pun mengikat tali pertunangan dengan bekas anggota kumpulan In-Team, Mohd. Suhaimi Saad, 27, pada 6 Jun lalu.
Dalam majlis itu juga, Ina menerima hantaran sebanyak RM 10,000.
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba dunia hiburan digemparkan dengan berita itu. Malah, berita itu mula tersebar luas dari sebuah laman web sehari selepas majlis pertunangan tersebut. Bukankah sebelum ini, Ina sudah berjanji akan mengumumkan majlis pertunangan dan pernikahannya kepada pihak media?
Bertempat di pejabat urusan Hijjaz Records Sdn. Bhd, (HRSB) pada 11 Jun lalu, Ina Naim dan tunangnya tampil memberikan penjelasan yang sebenar berhubung majlis pertunangan yang didakwa berlaku dalam keadaan mengejut itu.
“Memang benar. Sebenarnya tiada sebarang perancangan yang dilakukan. Tujuan asalnya adalah untuk melawat keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi dan berkenalan dengan keluarganya.
“Malam sebelum ke rumah Ina, kedua orang tua saya berkata mereka akan merisik dan terus meminang. Jadi, saya maklumkan kepada Ina. Malah, barang hantaran semuanya kami beli dalam perjalanan ke rumah Ina,” jelas Suhaimi yang juga merupakan seorang guru bahasa Arab di Sekolah Rendah Al-Irsyad, Kuantan, Pahang.
Ina juga menjelaskan apabila dimaklumkan keadaan itu, dia dan keluarganya membuat persiapan sebaik mungkin dengan pertolongan jiran terdekat.
Apabila ditanya apakah keistimewaan Suhaimi sehingga menyebabkan dia terbuka hati untuk menerima lamarannya, Ina menjelaskan pegangan agama yang tinggi dimiliki tunangnya itu membuatkan dia yakin dengan pilihannya itu.
“Suhaimi begitu baik, sopan santun dan mempunyai pendidikan agama yang baik sehingga saya sendiri berasa malu. Malah, Suhaimi juga mempunyai ciri-ciri suami idaman saya. Saya percaya dia mampu membimbing saya menjadi isteri yang solehah apabila berkahwin kelak,” jelas Ina tersipu malu sambil memandang ke arah Suhaimi.
Tambah Ina, mereka berdua mulai rapat selepas pertandingan akhir Hits 1 yang berlangsung April lalu.
“Suhaimi yang membimbing dan menjaga vokal saya untuk pertandingan itu. Memang pada mulanya kami kenal, tiada perasaan apa-apa. Lama-kelamaan perasaan itu timbul tetapi masing-masing takut untuk meluahkan,” kata Ina disambut ketawa kecil.
Bagi Suhaimi pula, dia memilih Ina bukan atas dasar kasihan tetapi kagum dengan semangat dan kecekalan yang ditonjolkan oleh wanita itu.
*Wanita yang tabah
“Saya mengikuti perkembangannya dan memang ada perasaan kasihan terhadapnya. Namun, saya melihatnya sebagai seorang wanita yang tabah dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran. Apatah lagi, menghadapi segala cercaan dan kata nista daripada orang ramai, namun Ina hadapi dengan tenang sekali. Itu yang buat saya kagum dengannya,” kata Suhaimi lagi.
Tambahnya, buat masa ini dia tidak dapat memberikan jawapan sama ada untuk membenarkan Ina terus aktif dalam bidang seni selepas berkahwin kelak.
“Apa yang pasti, saya kena tunggu selepas Ina tamat kontrak dengan HRSB tahun hadapan. Selepas itu, barulah kami boleh memberikan jawapannya,” kata Suhaimi lagi.
Memang benar, Ina seorang wanita yang tabah dan mampu melupakan segala kenangan pahit yang mungkin tidak bisa ditelan oleh sembarangan wanita.
“Ina mahu melupakan segala kenangan silam dan membina kehidupan yang baru. Ina sering memanjatkan doa kepada Allah agar memberikan kekuatan mengharungi hidup ini. Alhamdulillah, Allah memberi jalan yang betul,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Duhai Hati dan Rebah itu.
Adakah dia akan menjemput Mawi ke majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung hujung tahun ini? Jawapan Ina: “Sudah tentu saya akan menjemput Mawi dan semua rakan artis. Tiada dendam di hati saya terhadapnya.”
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!