Kadar Caruman KWSP Pekerja Dikurangkan Mulai Gaji Januari 2009
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menerima manfaat daripada pengurangan caruman bulanan pekerja sebanyak tiga peratus, dari kadar berkanun 11 peratus kepada 8 peratus, berkuatkuasa mulai gaji Januari 2009 untuk tempoh dua tahun.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan langkah mengurangkan kadar caruman pekerja semasa ucapan penggulungan Kementerian Kewangan untuk Bajet 2009 pada Selasa lalu. Langkah ini akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pekerja selaras dengan keadaan ekonomi semasa. Pada masa sama, pertambahan pendapatan boleh guna akan merangsang perbelanjaan domestik sekaligus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.
Pengurangan kadar berkanun caruman pekerja pernah dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2003 sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi.
Untuk memudahkan ahli dan melancarkan pelaksanaan langkah tersebut, pengurangan caruman bulanan pekerja dari 11 peratus kepada 8 peratus akan dilaksanakan secara automatik mulai gaji Januari 2009 sehingga gaji Disember 2010.
Bagaimanapun, ahli yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang KWSP 17A (AHL). Borang yang lengkap diisi perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP.
Sehubungan itu, KWSP akan mengeluarkan jadual caruman bulanan yang baru. Ahli dan majikan boleh mendapatkan jadual caruman baru itu dan Borang KWSP 17A (AHL) dari mana-mana cawangan KWSP atau memuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my mulai 1 Disember 2008.
(NIK AFFENDI JAAFAR)
Pengurus Kanan
Perhubungan Awam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Tarikh: 6 November 2008
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!