Mahasiswa Universiti Malaya telah mengambil pendekatan ‘media
alternatif’ apabila menyatakan satu bantahan melalui laman sosial
Facebook dengan menubuhkan satu laman iaitu 'Kami Bantah Budaya Cheers
di Minggu Haluan Siswa UM'.
Bantahan mengenai penerapan budaya barat semasa Minggu Haluan Siswa
universiti tersebut mula mendapat perhatian umum terutama golongan
mahasiswa dan pensyarah semenjak ditubuhkan 11 Ogos lalu.
Mahasiswa UM dalam bantahannya menggesa pihak pentadbiran UM
menghapuskan penerapan budaya barat yang lebih dikenali 'cheers' itu
yang sebelum ini merupakan salah satu tradisi di kampus tertua negara
itu.
Budaya 'cheers' merupakan aktiviti utama yang diwajibkan kepada semua
mahasiswa baru Universiti Malaya setiap kali tibanya sesi baru
pengajian.
Mahasiswa yang membantah budaya tersebut mensasarkan Minggu Haluan
Siswa UM Sesi 2013/2014 sebagai sesi pengajian pertama tanpa penerapan
budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam tersebut.
Sementara itu, pensyarah UM Cawangan Nilam Puri, Dr. Shukeri Mohamad
dalam satu kenyataannya menyokong bantahan yang dilakukan dan perlu
merujuk pelaksanaan Minggu Haluan Siswa di UM Nilam Puri sebagai
alternatif.
"Saya sendiri tidak pasti sama ada zaman dahulu semasa saya belajar
di sana terdapat 'cheers' atau tidak tetapi memang dari dahulu lagi UM
sudah dimomokkan dengan banyak aktiviti dan agenda negara barat.
"Dan saya cadangkan pihak berkenaan rujuk bagaimana perjalanan Minggu
Haluan Siswa di UM Nilam Puri sebagai alternatif menggantikannya,"
jelasnya yang juga graduan UM.
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Muhammad Safwan
Anang@Talib pula mengambil pendekatan dan jawapan berbeza mengenai isu
terbabit.
"Di pihak kami (PMIUM), kami sehingga kini masih belum ingin
mengambil alih isu ini dan kami sedar timbulnya isu ini adalah kerana
timbulnya kesedaran di kalangan mahasiswa terbabit.
"Bukan bermakna kami tidak sensitif dengan isu terbabit, cumanya kami
ingin semua pihak jelas dan nampak mengapa isu tersebut ditimbulkan,”
ujarnya yang juga mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM dalam satu
kenyataan.
PMIUM sebelum ini lebih dikenali apabila sering mendahului isu-isu
berkaitan sensitiviti agama dan sosial di sekitar kampus dan nasional.
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!