Monday, June 11, 2007

Bayaran tol terowong SMART bermula Jumaat

Peta laluan Terowong SMART

KUALA LUMPUR 10 Jun – Pengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) akan mula membayar tol tepat pukul 12 tengah malam Jumaat ini, dan kadar tolnya akan diumumkan dalam tempoh dua hari lagi, umum Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu.

“Saya akan mengadakan sidang media dalam satu atau dua hari ini dan akan mengumumkan kadar tol pada masa itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Kebangsaan Hindu Dharma Mamandram di Batu Caves dekat sini hari ini.

Terowong SMART, sepanjang 9.7 kilometer dengan laluan untuk kenderaan sepanjang 3.3 kilometer, yang merupakan projek lebuh raya dan terowong banjir pertama, dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 14 Mei lepas secara percuma untuk tempoh sebulan.

Ditanya sama ada kerajaan dapat memberi jaminan kadar tol yang akan dikenakan munasabah dan tidak membebankan rakyat, Samy Vellu berkata, orang ramai perlu faham perbezaan pembinaan terowong ini dengan lebuh raya kerana kos pembinaan terowong menelan belanja yang amat tinggi.

Sebanyak RM1.9 bilion dibelanjakan untuk pembinaan terowong antara Jalan Sungai Besi dan Jalan Ampang, iaitu termasuk kos laluan kenderaan sepanjang 3.3 kilometer yang berjumlah RM650 juta.

“Saya tak boleh memberi jaminan, tol yang bakal dikenakan munasabah kerana ia menelan belanja besar untuk pembinaan tol itu. Di mana-mana tempat di dunia pun, pembinaan tol di dalam terowong selalunya berbeza,” kata Samy Vellu.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan terowong SMART bagi laluan yang lebih cepat atau laluan sedia ada tanpa sebarang bayaran.

Projek terowong SMART yang bermula sejak 2003 merupakan projek pertama di dunia yang mempunyai dwifungsi utama iaitu peranan pertamanya untuk mengalih air berlebihan ketika banjir kilat dari Sungai Klang dan Sungai Ampang bagi mengelakkan air memasuki pusat bandar.

Peranan kedua ialah sebagai laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas khususnya kepada pengguna jalan raya dari arah selatan menuju pusat bandar.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post