Saturday, June 9, 2007

Fatwa tanah wakaf


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji dan mengeluarkan fatwa mengenai cara membangunkan secara komersial tanah wakaf yang diwasiatkan untuk pembinaan masjid dan surau.

Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan dibangkitkan kerana wasiat khusus seumpama itu menghalang tanah wakaf terbabit dibangunkan secara komersial, sedangkan ia dapat dimanfaatkan untuk menjana ekonomi bagi kepentingan umat Islam.

“Walaupun ada tanah wakaf diwasiatkan secara khusus untuk bina masjid atau surau, ulama boleh mengkaji masalah ini dengan mengadakan ijtimak dan melihat hukum syarak dari sudut lebih luas, agar di tapak tanah itu boleh juga dibina bangunan lain.

“Dengan cara itu, wasiat pemilik asal tanah wakaf itu bukan saja dapat dipatuhi, malah tanah berkenaan juga boleh diberi nilai tambahan yang dapat dimanfaatkan umat Islam. Sebagai contoh, jika tanah wakaf itu kecil dan diwasiatkan untuk mendirikan masjid, bolehkan satu bangunan didirikan dengan masjid terletak di atas bangunan itu.

“Tujuannya untuk amal jariah serta pembangunan umat Islam. Inilah perkara yang perlu diperhalusi sama ada tanah wakaf itu boleh dibangunkan untuk memberi manfaat kepada orang Islam yang ramai bilangannya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Tanah Wakaf di Jalan Perak di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Zainol Mahmood dan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali.

Tanah wakaf seluas 0.48 hektar di segi tiga emas ibu negara itu, menjadi tapak projek pembangunan tanah wakaf terbesar yang dikomersialkan membabitkan pembinaan menara setinggi 34 tingkat bernilai RM150 juta.

Menara yang menempatkan Wisma MAIWP dan ibu pejabat Bank Islam Malaysia Berhad itu, dibina dengan usaha sama MAIWP, Tabung Haji, Bank Islam dan TH Technologies Sdn Bhd. Ia dijangka siap pada 2010.

Hak milik tanah wakaf bernilai kira-kira RM34 juta yang terletak berhampiran Menara Berkembar Petronas itu diserahkan kepada MAIWP selepas mahkamah memutuskan tiada waris pemilik asalnya, Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy yang juga saudagar kain dari India, tampil menuntut.

Perdana Menteri turut menyarankan pihak berkuasa negeri mencari jalan untuk memajukan secara lebih ekonomik dan berdaya maju tanah wakaf yang mempunyai keluasan kecil, terutama di bandar. Ada 36,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara yang boleh dibangunkan secara komersial dan diberi tambah nilai agar hasilnya dapat digunakan untuk amal jariah.

“Kerajaan menyediakan peruntukan RM250 juta untuk membangunkan tanah wakaf dan berharap ia dapat gunakan bagi memajukan tanah wakaf yang terbiar. Di Pulau Pinang, sebagai contoh, banyak tanah wakaf tidak dapat dibangunkan kerana keluasannya kecil, tidak ekonomik dan tidak berdaya maju,” katanya.

Abdullah mencadangkan pihak berkuasa agama negeri membeli tanah bersebelahan tanah wakaf berkenaan supaya dapat dicantumkan bagi menambah keluasannya.

“Dengan cara ini, bolehlah kita dirikan masjid serta bangunan lain yang dapat menjana pendapatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post