KUALA LUMPUR, 8 Jun - Penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia yang disepakati kabinet mungkin bermotifkan politik sebagai strategi pilihan raya bagi menunjukkan keprihatinan Barisan Nasional (BN) terhadap masyarakat bukan Melayu.
Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan penukaran istilah tersebut berlaku kerana isu 13 Mei sudah berkubur dengan pendedahan Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong melalui buku terbarunya bertajuk 'May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969'.
Dakwanya lagi, penukaran istilah tersebut menggambarkan seolah-olah Umno hendak mengkhianati kontrak sosial memandangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 adalah sebahagian dari kontrak sosial.
Jelas Abdul Aziz, Perkara 152 yang 'merumahkan' kedudukan bahasa Melayu tidak pernah dipinda sejak 31 Ogos 1957 lagi. Manakala ungkapan bahasa Malaysia katanya timbul selepas peristiwa 13 Mei untuk mengambil hati golongan bukan Melayu.
Justeru katanya, kenyataan Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin bahawa istilah bahasa Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas negara mencapai kemerdekaan adalah diragui.
"Saya ragu bila masa Tunku berbuat seperti yang didakwa oleh Zam itu. Cukuplah dengan nasib tulisan jawi yang mati di tangan mereka. Kononnya sistem ejaan jawi dipermudahkan untuk memudahkan bukan Melayu.
"Tetapi berapa ramai yang belajar dan minat? Yang jelas orang Melayu lupa tulisan jawi dan ini mendatangkan kesan negatif kepada pendidikan al-Qur'an yang rapat dengan tulisan jawi. Begitu juga dengan jati diri bangsa Melayu," tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Jelasnya lagi, persoalan bahasa tidak perlu dikaitkan dengan negara. Beliau memberi contoh beberapa buah negara seperti Brazil yang menggunakan bahasa Portugis tapi tidak menggelarnya dengan 'bahasa Brazil'. Begitu juga dengan Mexico tetap mengekalkan bahasa Sepanyol, tidak menjadikannya bahasa Mexico. Begitu juga dengan Amerika Syarikat dan Scotland dalam konteks bahasa Inggeris.
"Kita tidak harus terikut-ikut dengan kekeliruan di Indonesia. Kita harus melihat Brunei yang tegas mempertahankan bahasa Melayu. Kita tidak harus melakukan sesuatu yang amat dangkal dan superfisial seperti yang dilakukan oleh kabinet itu.
"Kabinet harus merujuk hal ini kepada pakar bahasa seperti DBP dan mereka yang berkaitan. Mereka juga harus berani meminda Perkara 152 yang mana pindaan ini mesti diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja," katanya yang kesal dengan tindakan tersebut.
Keputusan kabinet menggunakan istilah Bahasa Malaysia yang antara lain dengan alasan untuk memperkasa bahasa kebangsaan juga disifatkan Abdul Aziz akan lebih mengelirukan orang Melayu serta belum tentu dapat diperkasakan.
"Yang penting kembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Lain yang bermasalah lain pula yang ditangani. Ini ibarat kepala yang sakit, tetapi kaki pula yang dirawat," katanya. - mns
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!