Wednesday, June 20, 2007

Felda cadang tubuh universiti sendiri

KUALA LUMPUR 20 Jun — Felda bercadang untuk menubuhkan sebuah universiti sendiri bagi menjamin peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak peneroka Felda di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Abdul Raman Suliman.

Beliau berkata, cadangan penubuhan universiti itu kini dalam peringkat rundingan. “Sekiranya semua berjalan baik, Felda sememangnya berhasrat untuk menubuhkan sebuah Universiti Felda selaras dengan perkara ketiga dalam misi Felda iaitu keluarga peneroka mempunyai tahap pendidikan yang sesuai,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) yang ingin tahu adakah Felda bercadang menubuhkan universiti sendiri memandangkan agensi itu mempunyai lebih dua juta hektar tanah dan membelanjakan lebih RM100 juta untuk program menghantar anak-anak peneroka ke institusi pengajian tinggi.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Raja Ahmad Zainuddin tentang keberkesanan Skim Tuisyen Felda (STF) Abdul Raman berkata, skim tuisyen yang diperkenalkan sejak 2004 berjaya membantu meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan anak-anak peneroka.

Buktinya seramai 72,062 anak peneroka Felda berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam pada tahun lepas, katanya.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 46,873 orang berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma, 24,269 di peringkat ijazah pertama dan 920 di peringkat ijazah lanjutan,” katanya.

Abdul Raman berkata, Felda akan mengkaji dan meneliti STF dari semasa ke semasa terutama daripada segi pencapaian dan keberkesanannya dan bercadang untuk mengambil guru-guru berkemahiran dan berpengetahuan luas bagi melaksanakan skim tuisyen itu.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post