Tuesday, June 19, 2007

Islam Hadhari - Dato Seri Najib hidang kugiran 'ala pop yeh-yeh' untuk imam-imam seluruh negara

BANGI, 19 Jun - Pada 11 hingga 15 Jun yang lalu, berlangsung satu program Muzakarah imam-imam 2007 yang telah berjaya menghimpunkan kira-kira empat ribu orang imam daripada seluruh negara bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).





Menariknya, program lima hari empat malam ini adalah anjuran Sekretariat Islam Hadhari, Jabatan Perdana Menteri(JPM) dengan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan swasta yang mana Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pusat adalah daripada Sekretariat Islam Hadhari JPM, dan AJK Universiti adalah terdiri dari kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar(HEP) Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan lebih 100 orang sukarelawan daripada kalangan pelajar yang berusia 14 hingga 17 tahun, sebahagian besarnya datang daripada Umno Bahagian Klang yang memakai baju BN-Ijok dan juga baju Umno.

Pada keseluruhannya, program tersebut dilihat bertujuan menyuntik ideologi Islam Hadhari ciptaan Pak Lah dalam usaha membentuk pemikiran para peserta berkenaan kepentingan dan keistimewaan Islam Hadhari di samping memberikan "kemewahan" kepada semua imam seluruh Malaysia yang selama ini hidup dengan gaji yang kecil serta elaun yang tidak mencukupi.

Selain itu, terdapat pembentangan kertas kerja biasa dan terdapat juga program-program yang dilihat seperti menyebarkan propaganda Islam Hadhari, manakala di sekitar Dectar, adanya pameran Hadhari, iaitu daripada Jabatan Agama Negeri Masing-masing dan gerai-gerai jualan biasa.

Berdasarkan komen peserta, ramai yang kecewa dengan pengurusan program yang kelihatan sangat tidak teratur. Ini kerana terdapat ramai peserta yang tertinggal bas untuk hadir ke tempat program, kuantiti makanan yang tidak mencukupi dan tidak kurang juga ada yang sesat di dalam kawasan UKM, yang menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati dan rungutan di kalangan peserta.

Namun begitu, masalah yang sepatutnya tidak berlaku dalam satu program besar anjuran kerajaan yang dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri(PM) ialah makanan.

Justeru, apa yang berlaku pada pagi hari Rabu, 13 Jun para peserta mula memberontak kerana makanan yang tidak mencukupi dan dilaporkan, ada di kalangan peserta yang terpaksa keluar sendiri daripada UKM untuk membeli makanan kerana telah empat kali mereka tidak mendapat makanan yang disediakan bahkan kelakuan para Imam juga gagal menunjukkan contoh yang baik dan amat memalukan apabila mereka berebut-rebut ketika mengambil makanan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, mereka juga telah dihidangkan dengan nasi yang telah basi sehingga menyebabkan ada peserta yang mengadu mengalami sakit perut.

Masalah pengurusan makanan yang sangat teruk ini menatijahkan tindakan peserta kerana sudah sangat tidak tahan dengan keadaan program sehinggakan mereka bertanya pada ketika yang tidak sesuai persoalan tersebut dibangkitkan pada sesi pembentangan kertas kerja bertajuk 'Masjid sebagai Sumber Kekuatan Umat Memperkenalkan konsep Amalan Masjid Terbaik' yang dibentangkan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains Universiti Malaya, Prof Dr Nik Azis Nik Pa.

Peserta dihidangkan kugiran di kediaman Najib

Dalam pada itu, melalui soal-jawab dengan peserta, ramai yang sedar bahawa program ini dibuat adalah semata-mata untuk memenangi hati para imam, dan ia menunjukkan bahawa pilihan raya umum telah semakin hampir.

Sewaktu malamnya, para imam ini dipisahkan mengikut negeri masing-masing bagi sesi pertemuan dan majlis makan malam bersama pimpinan negeri masing-masing seperti negeri Pahang dengan Dato' Jamaluddin Jarjis di sebuah hotel, Johor di Masjid Wilayah bersama Dato' Abd Ghani Othman, Negeri Sembilan dengan Dato' Rais Yatim di hotel, Sabah dengan Dato' Shafie Apdal di Kementeriannya dan lain-lain lagi.

Urusetia pusat juga berlagak seperti goloangan orang terhormat, bahkan ada urusetia yang memanggil peserta (imam) dengan panggilan "bengap".

Sementara itu, apabila ditanya tentang status urusetia daripada kalangan remaja pihak urusetia pusat mengatakan bahawa mereka adalah rombongan pelajar sekolah walhal mereka memakai tag nama urusetia.

Pada majlis penutup program muzakarah yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak di kediaman rasmi beliau di Putrajaya, para peserta disajikan dengan persembahan kugiran dan artis-artis nasyid tempatan yang terdiri daripada kumpulan Rabbani, Hijjaz, A Rahman Hasan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah aktiviti santai tersebut telah dicemari apabila ia tetap diteruskan apabila azan sedang jelas berkumandang.

Para imam yang kelihatan seronok dan sebahagian daripada mereka bertepuk tangan semasa permulaan kugiran tanpa menyedari akan insiden yang sepatutnya disedari oleh para imam yang menjalankan tugas mereka secara asasi di masjid.

Walau bagaimanapun, apa yang penting, Najib telah berjaya menyuntik pemikiran para Imam ini dengan ideologi dan fahaman Islam Hadhari ciptaan Pak Lah dan beliau juga menyatakan harapan agar mereka dapat menjadi jentera kerajaan bagi menerangkan kepada masyarakat tentang hasrat kerajaan yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post