Tuesday, June 5, 2007

Guna semula istilah Bahasa Malaysia – Najib

KUALA LUMPUR 4 Jun – Keputusan Kabinet menggunakan semula istilah Bahasa Malaysia bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan bertujuan mengelakkan polemik daripada pihak yang menganggap ia hanya untuk kaum tertentu sahaja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan bahasa kebangsaan itu menjadi milik semua rakyat Malaysia.

‘‘Kita tidak hendak perkara ini menjadi satu polemik yang besar. Kita tahu bahasa kebangsaan ini maknanya bahasa Melayu, tetapi kita hendak ia dijadikan bahasa kepada semua rakyat tidak kira keturunan dan kumpulan etnik.

‘‘Jadi kalau kita anggap bahasa ini sebagai bahasa Malaysia, bererti ia milik kita semua, itu dia punya rasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia 2007, di sini hari ini.

Najib mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin semalam, mengenai keputusan Kabinet menggunakan semula bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada bahasa kebangsaan.

Keputusan sebulat suara oleh Jemaah Menteri pada April lalu itu bertujuan mewujudkan semangat bahawa bahasa Melayu milik semua tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, semua kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diarah memaklumkan kepada jabatan serta agensi masing-masing untuk menggunakan istilah bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuat kuasa serta-merta.

Istilah bahasa Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas negara mencapai kemerdekaan sebagai langkah menyemai identiti Malaysia.

Ia diguna pakai sehingga 1986 apabila Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar subjek Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu.

Tambah Najib, langkah mengguna pakai semula istilah lama itu akan meningkatkan usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

‘‘Ia juga akan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara lebih meluas, mewujudkan integrasi di kalangan rakyat dan perasaan bersatu hati,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post