Putin mengakui respons Rusia boleh mencetuskan semula perlumbaan senjata di Eropah tetapi Moscow tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana Washington yang memulakan persaingan itu.
Presiden Rusia itu membuat kenyataan tersebut dalam satu wawancara yang disiarkan malam tadi.
Kenyataan tegas itu membayangkan Sidang Kemuncak Kumpulan Negara Lapan (G8) yang dingin di Jerman pada Rabu ini apabila Putin akan bersemuka dengan para pemimpin dunia lain termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush.
Rusia tidak menghalakan peluru berpandunya secara khusus ke Eropah sejak tamat Perang Dingin.
Bagaimanapun apabila ditanya sama ada Moscow akan kembali kepada keadaan itu jika rancangan perisai peluru berpandu AS diteruskan, Putin menjawab: “Sudah tentulah kami akan kembali kepada pendirian pada masa lalu.”
“Adalah jelas jika sebahagian keupayaan nuklear AS ditempatkan di Eropah dan pada pandangan pakar tentera kami, ia akan mengancam kami, maka kami akan terpaksa mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Langkah itu sudah tentulah menghalakan peluru berpandu ke sasaran baru di Eropah, ujar beliau.
Respons tegas Putin terhadap sistem pertahanan peluru berpandu AS itu membayangkan konflik dengan Barat semasa Perang Dingin.
Putin melemparkan kritikan pedas terhadap White House minggu lalu dengan menggambarkan dasar AS sebagai “imperialis.”
NATO dalam reaksinya hari ini menyifatkan pandangan Putin itu sebagai “tidak membantu dan tidak dialu-alukan.”
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!