Tuesday, June 5, 2007

Kes Altantuya tangguh - Perbicaraan 18 Jun ini berikutan pertukaran barisan pendakwaan

SHAH ALAM 4 Jun – Perbicaraan kes pembunuhan kejam model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sehingga 18 Jun ini berikutan pertukaran barisan pendakwaan mulai semalam.

Kes tersebut melibatkan tiga tertuduh, iaitu dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, serta penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47.

Perbicaraan yang telah dipercepatkan sembilan bulan dari tarikh asal pada Mac tahun depan terpaksa ditangguhkan oleh Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin setelah pendakwaan kini diambil alih oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Manoj Kurup dan Wong Chiang Kiat.

Chiang Kiat bagaimanapun tidak hadir kerana cuti sakit.

Kes tersebut dijadualkan dibicara selama empat minggu mulai hari ini.

Barisan pendakwaan baru itu menggantikan dua timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes sebelum ini, iaitu Ketua Unit Kes Terkelas, Salehuddin Saidin dan Ketua Unit Jenayah Seksual dan Jenayah Am, Noorin Badaruddin.

Tun Abdul Majid merupakan Ketua Bahagian Guaman, Chiang Kiat pula Ketua Unit Rayuan dan Manoj turut bertugas di Unit Rayuan.

Tun Abdul Majid terdahulunya memohon penangguhan selama sebulan terhadap perbicaraan dan pendengaran permohonan peguam pemerhati, Karpal Singh bagi pihak ahli keluarga Altantuya untuk mendapatkan hak memeriksa saksi dan berhujah dalam perbicaraan kes itu.

Beliau memberi alasan bahawa memandangkan keadaan yang tidak dapat dielakkan, satu pasukan baru terpaksa menerajui pendakwaan dan pihaknya perlu meneliti lebih 100 kenyataan, dokumen-dokumen dan laporan-laporan lain.

‘’Di samping itu, notis alibi telah dikemukakan oleh tertuduh pertama (Azilah) yang diterima pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 402A Kanun Prosedur Jenayah,’’ katanya.

Walaupun tidak membantah, menurut beliau, pihaknya perlu menjalankan siasatan terhadap notis tersebut dan ia memerlukan masa untuk meneliti kertas siasatan.

‘’Dengan alasan itu, pendakwaan memohon maaf daripada semua yang hadir, mahkamah, peguam yang terlibat, tertuduh dan keluarga Altantuya,’’ katanya yang mendakwa menerima panggilan mengambilalih kes itu semasa dalam perjalanan pulang dari kampung petang semalam.

Hakim Mohd. Zaki pada awalnya agak keberatan membenarkan penangguhan kerana ia melibatkan kes-kes lain pada bulan Julai dan meminta pihak pendakwaan merekodkan percakapan saksi-saksi luar negara.

Tun Abdul Majid menyatakan bahawa beliau bukan sahaja belum melihat kertas siasatan dan rekod percakapan saksi-saksi luar negara seramai lima orang, tetapi juga saksi-saksi lain.

Karpal bagaimanapun mencadangkan penangguhan dibuat untuk tempoh dua minggu sahaja kerana ia melibatkan kepentingan keluarga mangsa dan juga kerajaan Mongolia.

Beliau juga mempersoalkan mengapa pertukaran pasukan pendakwaan dibuat sehari sebelum perbicaraan tanpa sebarang alasan dan notis alibi diberi 10 hari sebelum tarikh perbicaraan.

Hakim Mohd. Zaki kemudiannya membenarkan perbicaraan dimulakan pada 18 Jun dan berlarutan sehingga bulan Julai. Sekiranya saksi pendakwaan belum selesai, perbicaraan dijangka berterusan pada bulan Ogos.

Dalam kes ini, Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak yang merupakan pengarah eksekutif sebuah kumpulan pemikir tempatan pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Ketiga-tiga mereka yang mengaku tidak bersalah berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Tun Abdul Majid ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding hanya menunjukkan isyarat tangan ‘tiada komen’ ketika ditanya mengenai pertukaran barisan pendakwaan.

‘’Apa-apa (pun) saya akan bersedia dalam tempoh dua minggu...18 Jun,’’ katanya.

Karpal ketika ditemui pula berkata, pasukan pendakwaan sebelum ini seharusnya dibenarkan meneruskan kes itu dan jika pertukaran berlaku, notis sebulan perlu diberikan kepada mahkamah.

Perbicaraan kes bunuh yang menggemparkan negara itu mendapat liputan meluas termasuk media asing apabila galeri awam dipenuhi oleh wartawan tempatan dan agensi berita luar negara, orang awam, selain daripada ahli keluarga ketiga-tiga tertuduh.

Kesemua mereka menunggu di pintu mahkamah yang terletak di tingkat empat Kompleks Mahkamah di sini seawal pukul 7.15 pagi. Malahan pintunya terpaksa ditutup pada pukul 8.35 pagi sebaik sahaja ruang mahkamah dipenuhi sehingga ada yang sanggup berdiri.

Ketiga-tiga tertuduh tiba kira-kira pukul 9.15 pagi dengan Abdul Razak yang berbaju biru lengan panjang, seluar warna biru gelap dan berselipar kelihatan badannya semakin susut.

Abdul Razak juga mengambil kesempatan memeluk dan mencium pipi ibunya, isteri, Mazlinda Makhzan dan anak perempuan, Rowina, 20.

Semasa prosiding ditangguhkan selama 15 minit, Mazlinda sempat bersalaman dengan beberapa orang wartawan sambil menyatakan Abdul Razak adalah seorang suami dan bapa yang baik.

Abdul Razak pula didengar berkata : “They are asking more than a pound of my flesh...didn’t know the press is carnivorous’’. (Mereka meminta lebih daripada sepaun daging saya...(saya) tidak tahu selama ini pihak media bersikap pemangsa).

Turut hadir ialah bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev dan tiga anak saudaranya, Burmaa, Almiraa dan Gal Ochir yang tiba di negara ini sejak tiga hari lalu.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mohd. Zaki turut menolak permohonan peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Abdul Razak supaya mahkamah melepas tanpa membebaskan anak guamnya ekoran ketidaksediaan pihak pendakwaan menjalankan perbicaraan.

Semasa hakim memutuskan demikian, Rowina yang beralih tempat duduk di bangku paling dekat di belakang kandang tertuduh sentiasa memegang tangan kanan bapanya.

Dalam permohonan secara lisan, Kian Kheong yang membantah penangguhan berkata, Abdul Razak yang disenaraikan sebagai tertuduh ketiga tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana sejak dua bulan lalu, pihaknya telah bersedia untuk perbicaraan.

Keghairahan Kian Kheong memohon Abdul Razak dibebaskan sementara menunggu perbicaraan, menyebabkan hakim menegurnya bahawa telah tiga kali peguam itu menyatakan demikian sehingga menimbulkan gelak ketawa dari galeri awam.

Sementara itu, peguam bela kepada Azilah, Hazman Ahmad memohon penangguhan selama sehari bagi menggenapkan 10 hari yang diperuntukkan dalam penghantaran notis alibi kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Menurutnya, notis itu yang dialamatkan kepada timbalan pendakwa raya kurang sehari untuk genap tempoh 10 hari yang ditetapkan.

Ketika ditemui oleh pemberita kemudiannya, Hazman memberitahu, notis alibi itu memaklumkan bahawa Azilah tidak berada di tempat kejadian seperti dalam pertuduhan dan notis itu hanya boleh digunakan jika tertuduh dipanggil membela diri.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post