KUCHING 7 Jun - Lima mati manakala sembilan lagi cedera ditembak menggunakan senapang patah oleh seorang lelaki yang mengamuk pada majlis perkahwinan di sebuah rumah panjang di Song, dekat Sibu, malam tadi.
Mangsa yang terbunuh ialah Galau Ilu, 27, Gram George, 34, Jimbun Ngindang, 30, Paulus Ilu, 43 dan Meluda Emin yang belum diketahui usianya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam di rumah panjang Enchan Engkabau.
``Ketika kejadian para penghuni rumah panjang berkenaan sedang sibuk meraikan perkahwinan pasangan salah seorang penghuni rumah berkenaan.
``Suspek berusia 36 tahun bertindak menembak secara rambang menggunakan peluru penabur,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Talib memberitahu, suspek kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Song dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
``Suspek yang merupakan anak angkat kepada salah seorang penghuni rumah panjang itu dikatakan berselisihan faham dengan lima penghuni rumah panjang berkenaan.
``Perselisihan faham itu bermula sejak sambutan Gawai Dayak Jumaat lalu,'' katanya.
Semua mangsa yang cedera, jelas beliau, dirawat di Pusat Kesihatan Song, manakala mangsa yang terbunuh dihantar ke Hospital Kapit untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!