Wednesday, June 6, 2007

Bas tersangkut pokok selamatkan penumpang

TERGANTUNG: Bas yang terhumban tersangkut pada pokok.

CAMERON HIGHLANDS: Sebatang pokok menyelamatkan 20 penumpang sebuah bas daripada kecederaan teruk atau mungkin maut, apabila kenderaan itu terhumban ke gaung sedalam kira-kira 20 meter ketika berhenti di Kilometer 39, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, hanya tiga penumpang wanita berusia 20-an cedera ringan dan dirawat di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata semua penumpang terbabit bernasib baik kerana bas itu mungkin terhumban lebih jauh kira-kira 100 meter ke dalam gaung jika tidak tersangkut pada pokok berkenaan.

BERI BANTUAN: Kerja
menaikkan bas yang
terhumban di Kilometer
39, Jalan Tapah-Cameron
Highlands, semalam.


ABas itu, yang membawa rombongan 45 orang singgah di sebuah gerai Orang Asli di Puncak Padang Kampung Batu 24, Ringlet untuk memberi peluang kepada mereka membeli cendera mata dan hasil hutan. Pemandu dan kira-kira separuh penumpang turun, manakala bakinya berada dalam bas.

“Secara tiba-tiba, bas yang enjinnya masih dihidupkan itu menggelungsur dan merempuh papan tanda di hadapannya sebelum menjunam ke dalam gaung,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Roslan berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada brek tangan yang kurang berfungsi atau pemandu tidak menarik brek itu secara sempurna. Pemandu bas berusia 50 tahun itu tidak ditahan tetapi disaman kerana cuai.

Bas yang membawa rombongan dari Taman Marin, Muar, Johor itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadakan lawatan di pusat peranginan tanah tinggi ini sejak tengah hari kelmarin.

Seorang mangsa, Abdul Rashid Khamis, 49, berkata beberapa penumpang menjerit apabila bas itu menggelungsur beberapa minit selepas berhenti di gerai berkenaan.

"Saya meminta mereka bertenang dan berpaut pada kerusi masing-masing bagi mengelak impak yang kuat sewaktu bas menjunam ke dalam gaung.

"Saya bersyukur semua penumpang selamat kerana kalau mereka panik dan berebut-rebut mahu keluar ketika bas menjunam ke gaung, kedudukan bas mungkin menjadi tidak seimbang dan bergolek," katanya yang menyertai rombongan itu bersama isterinya, Sabariah Zainoh, 47.

Pemilik gerai berkenaan, Ariffin Kakeh, 42, terkejut sebaik melihat bas berkenaan menggelungsur ke gaung, kira-kira 30 meter dari gerainya.

"Saya menggigil dan menjerit meminta penumpang lain membantu memberhentikan bas berkenaan kerana sebahagian besar penumpang termasuk kanak-kanak masih berada di dalam bas. Saya lihat pemandu cuba masuk ke dalam bas tetapi kenderaan itu merempuh tanda jalan sebelum meluncur laju ke dalam gaung," katanya.

Adiknya, Jamil Kakeh, 34, berkata dia sempat menjerit meminta penumpang segera turun sebaik bas itu menggelungsur.

"Saya melihat ada beberapa penumpang termasuk kanak-kanak melompat keluar melalui tingkap sebaik bas itu bergerak dan keadaan menjadi agak kelam kabut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post