Mereka menjadi suami isteri selepas sekali lafaz akad nikah.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Putra, Abd. Manaf Mat pada pukul 2.50 petang di hadapan ahli keluarga terdekat.
Anak dan menantunya, Datuk Kamaluddin dan Khairy Jamaluddin, menjadi saksi pernikahan itu.
Abdullah yang kelihatan tampan dan segak mengenakan sepasang baju Melayu berwarna krim, bersongkok dan bersamping songket warna serupa manakala isterinya memakai baju kurung berwarna sedondon dan selendang putih.
Perdana Menteri berkata, majlis pernikahan itu berjalan lancar dan sempurna.
‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana majlis akad nikah itu berjalan sempurna, memang semuanya berjalan dengan baik,” kata beliau.
Rombongan pihak pengantin perempuan memasuki Seri Perdana pada pukul 2.20 petang menaiki sebuah kereta BMW berwarna perak diiringi sebuah kereta Proton Chancellor dan sebuah kereta pacuan empat roda.
Selang beberapa minit kemudian jurunikah tiba dengan menaiki Proton Perdana berwarna hitam.
Mingguan Malaysia difahamkan sebanyak 42 orang jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat menyaksikan majlis akad nikah itu.
Walaupun majlis itu diadakan secara tertutup, para pemberita dan jurugambar mula berkumpul di hadapan pintu pagar utama Seri Perdana seawal pukul 8 pagi.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat penghantaran bunga tidak putus-putus tiba di Seri Perdana untuk menghantar jambangan bunga ucapan tahniah sempena perkahwinan itu.
Di sebalik kegembiraan menerima orang baru dalam hidupnya, Abdullah ternyata tidak melupakan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, isterinya yang meninggal dunia kerana kanser payudara dua tahun lalu.
Perkara pertama yang dilakukan Perdana Menteri selepas selesai majlis akad nikah ialah membawa Jeanne menziarahi kubur Allahyarham Endon selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Taman Selatan, Presint 20 di sini.
Sebaik tiba di tanah perkuburan itu, Abdullah yang berjalan berpimpin tangan dengan Jeanne sempat melemparkan senyuman sambil bertanya khabar kepada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang menanti untuk merakamkan gambar pengantin baru itu sejak awal pagi.
Beliau kemudian memimpin bacaan tahlil dan doa selamat bersama kira-kira 20 orang saudara-mara termasuk Kamaluddin sekeluarga, Nori dan Khairy.
Hadir sama ialah anak-anak Jeanne, Nadiah dan Nadene, yang mengenakan baju kurung berwarna coklat cair berserta selendang.
Turut kelihatan beberapa ahli keluarga Endon yang lain.
Abdullah dan Jeanne kemudian bersama-sama menyiram air mawar dan menabur bunga ke atas pusara arwah isterinya, diikuti oleh Kamaluddin dan Nori, menantu-menantu serta ahli keluarga terdekatnya.
Pada satu ketika, Abdullah yang sedang menyiram pokok di pusara Allahyarham Endon, sempat bercerita mengenai fadilat menanam pokok di pusara.
‘‘Mengikut sabda Rasulullah s.a.w., pokok yang ditanam di pusara akan bertasbih (kepada arwah),” katanya.
Selepas selesai bacaan tahlil itu, Abdullah yang tidak lekang dengan senyuman mendekati kumpulan wartawan tempatan dan asing bersama isteri barunya untuk menceritakan tentang perjalanan majlis akad nikahnya.
Beliau berkata, majlis pernikahan itu berjalan lancar dengan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat termasuk adik-beradik arwah isteri serta besannya.
Ditanya tentang jumlah lafaz ijab kabulnya, Perdana Menteri berkata: ‘‘Sekali lafaz sahaja.”
Abdullah juga tersenyum gembira ketika menunjukkan cincin pernikahan yang disarungkan ke jari manis isterinya selepas diminta oleh para wartawan.
Anggota keluarga Perdana Menteri turut melahirkan perasaan gembira dengan perkahwinan itu.
“Bagi pihak keluarga, kami berasa gembira,” kata Kamaluddin, anak sulung Abdullah.
“Bagi pihak bapa saya dan juga ibu kami yang baru, kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan sempurna. Alhamdulillah,” kata Kamaluddin lagi.
Anak Jeanne, Nadene yang ditemui di tanah perkuburan itu diajukan soalan mengenai hubungan kekeluargaan.
Katanya, ia bukan sesuatu yang baru kerana mereka dan Perdana Menteri sebenarnya sudah menjadi sebuah keluarga sebelum ini.
‘‘Ia bukan baru bagi kami. Malah kami dengan Nori rapat kerana kami sepupu dan jarak umur kami pun tidak jauh.”
No comments:
Post a Comment
Please give some comment to this post if you like it...!