Thursday, September 6, 2007

Isu Kaum Lebih Sensasi

Oleh: FATHI ARIS OMAR (mSTAR Online)

PETALING JAYA: Isu-isu kaum lebih sensasi dan menarik minat lebih ramai pengundi kerana kerangka politik negara ini masih lagi tebal dengan agenda-agenda perkauman berbanding isu-isu berkepentingan umum seperti rasuah, meritokrasi, ketelusan dan hak asasi manusia.

Maka ahli-ahli politik memberatkan isu-isu kaum seperti bahasa, agama, budaya dan kepentingan etnik masing-masing agar mereka dilihat "juara" sesuatu kaum, kata seorang pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia kepada mStar Online hari ini.

Dr Ahmad Nizamudin Sulaiman berkata, lagi pun rata-rata pengundi khususnya di luar bandar dan berpendidikan rendah lebih mudah memahami isu-isu berkepentingan kaum dan agama.

"Isu-isu rasuah atau akauntabiliti melibatkan semua pihak, merentasi kepentingan kaum. Jadi, ia tidak menarik perhatian pengundi yang terbiasa dengan kerangka politik kaum. Golongan tertentu sahaja yang minat isu rasuah. Mereka ingin tahu dan mengikutinya misalnya melalui (artikel) blog-blog," tambahnya.

Menurutnya, golongan berpendidikan tinggi yang tinggal di bandar-bandar lebih prihatin isu rasuah dan akauntabiliti awam tetapi jumlah mereka tidak ramai.

"Tetapi sesetengah orang Melayu pula, termasuk cendekiawan, berasa serba salah untuk membincangkan isu-isu umum seperti meritokrasi, hak asasi atau akauntabiliti kerana dianggap membahayakan (kepentingan) mereka," katanya, ketika diminta mengulas sejauh mana berkesannya isu rasuah, berbanding isu kepentingan etnik, mempengaruhi pengundi dalam pilihan raya umum.

"Sebahagian mereka (ahli akademik dan intelektual Melayu) turut mendapat manfaat atau perlindungan daripada dasar-dasar berasaskan kaum, jadi mereka bimbang menyuarakan isu-isu universal ini."

mStar Online minggu lepas melaporkan, walaupun isu-isu rasuah sering muncul termasuk melibatkan pegawai tinggi kerajaan serta tokoh politik negara dan menjadi perdebatan umum tetapi ia tidak akan berjaya mengalih undi kepada pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang. [Lihat: Isu rasuah tidak untungkan pembangkang ]

Menurut dua pengamat yang dekat dengan parti-parti pembangkang, pengundi tidak mengutamakan isu rasuah berbanding isu-isu yang lebih membakar sentimen seperti kepentingan kaum, agama dan skandal seks.

Dr Ahmad Nizamudin menambah, ahli-ahli politik dan cendekiawan Melayu juga bimbang pengundi-pengundi tradisi khususnya di luar bandar menganggap mereka "cuba menggadaikan kepentingan bangsa" apabila mengangkat isu-isu berkepentingan bersama, misalnya mempertikai hak istimewa Melayu atau menganjurkan idea meritokrasi.

Selain itu, katanya, mereka juga takut "menyinggung perasaan" ahli-ahli politik sendiri misalnya menteri atau exco kerajaan negeri.

"Orang-orang politik sangat sensitif dengan isu rasuah kerana ia melibatkan (penyelewengan) orang politik juga atau penjawat awam. Mereka takut dikatakan menyindir kawan-kawan sendiri atau orang atasan mereka. Kalau boleh, mereka mahu kurangkan berbincang isu rasuah."

Bagaimanapun ahli akademik ini juga melihat perkembangan menarik di kalangan kelompok-kelompok muda kini yang semakin mengambil berat isu-isu berkepentingan awam ini. "Golongan muda, mereka yang berfikiran terbuka sudah mula sensitif. Mereka yang banyak bangkitkan."

Namun, tambahnya, isu-isu ketelusan, akauntabiliti dan rasuah sangat perlahan untuk berkembang walaupun sudah mula bertapak dan sering pula ditewaskan oleh isu-isu berbau perkauman.

"Buat masa sekarang, belum ada kesannya. Akan datang, mungkin tergantung pada perkembangan ekonomi negara. Orang sekarang selesa, jadi mereka tidak beri perhatian pada isu-isu rasuah (yang boleh merosakkan kemajuan ekonomi)."

Mengulas kempen anti-korupsi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak menjelang pilihan raya 2004, Dr Ahmad Nizamudin berkata masyarakat melihat pemimpin negara ini jujur untuk memerangi rasuah apabila mengambil tindakan terhadap beberapa tokoh politik seperti naib presiden Umno, Tan Sri Mohamed Isa Samad dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.

Langkah-langkah seumpamanya, kata pensyarah itu lagi, memberi keuntungan politik kepada Abdullah dan beliau masih berjaya dilihat sebagai seorang pemimpin yang bersih.

Katanya, imej Perdana Menteri untuk memerangi rasuah belum tergugat walaupun makin banyak kes rasuah muncul sekarang yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan tokoh politik negara, termasuk Umno.

"Ada beberapa kes itu tidak jelas. Jadi sampai di peringkat siasatan sahaja, tidak dibawa ke mahkamah," katanya, merujuk dakwaan rasuah terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom dan bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Peguam Negara menutup kertas siasatan terhadap kedua-duanya selepas didapati tiada kes untuk dibawa ke muka pengadilan.

Bagaimanapun kes-kes seumpama ini, tambah Dr Ahmad Nizamudin, akan terus dibangkitkan parti-parti pembangkang bagi mempertikaikan kewibawaan kerajaan.

Ditanya sebab DAP dilihat lebih lantang menyuarakan isu akauntabiliti dan penyelewengan berbanding PAS dalam tempoh lebih 10 tahun mutakhir, beliau berkata DAP cuba membuang imejnya yang dianggap "cauvinis Cina" dengan memberatkan isu-isu berkepentingan bersama.

"Tetapi nampaknya tidak berjaya, label itu masih melekat padanya."

Keseriusan DAP dalam isu rasuah atau akauntabiliti tidak pula bermakna pengundi-pengundi Cina lebih prihatin berbanding pengundi Melayu atau etnik-etnik lain, katanya.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post