Sunday, September 9, 2007

Piala Malaysia: Kedah Menang, Perak Kalah

KEDAH.....3
Mohd. Khyril Muhymeen (24)
Marlon Alex James (26, 81)
PERAK......0

Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Kedah merampas kembali kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila dinobatkan selaku juara edisi ke-81 menewaskan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan disaksikan hampir 81,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan melihat keunggulan Kedah meraih kejayaan ketiga musim ini sesudah bergelar juara Liga Super dan Piala FA, kini kemarau 14 tahun ditamatkan

Kali terakhir Kedah merangkul piala berprestij ini pada 1993 tertunai juga di hadapan puluhan ribu penyokong setia hijau kuning.

Kehadiran Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah melihat pemain didikan jurulatih Azraai Khor Abdullah mempamerkan aksi paling mantap untuk mengekang Perak daripada bergelar juara.

Dua gol selang dua minit menerusi pemain lincah kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen di minit 24 dan rembatan cantik Marlon Alex James pada minit ke-26 dan 81 menjadi pemusnah meranapkan impian menggunung Perak mahu menamatkan penantian tujuh tahun apabila kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2000. Sejurus pengadil, Ravichandran meniupkan wisel penamat, pemain berpelukan sesama sendiri sambil rakan mereka dibangku simpanan menyerbu masuk ke padang sambil diiringi pekik sorak penyokong Hijau Kuning.

Manakala buat Perak, perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2006-07 bakal menjadi sejarah hitam, tempang ketiadaan dua penyerang, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou akibat kecederaan dikeluarkan pada pertengahan babak pertama, mereka longlai apabila beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar di perintah keluar padang pada minit ke-44.

Suasana stadium makin menjadi kecoh apabila sebahagian penyokong Perak yang kecewa dengan kekalahan pasukan mereka membaling mercun, botol mineral, sampah sarap dan pelbagai barangan lain ke arah penonton yang berada di bawah sejurus Marlon menjaringkan gol ketiga Kedah.

Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Kedah menerusi larian solo pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen mengelecek pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-24.

Gol tersebut terus menggamatkan stadium dengan pekik sorak penyokong Kedah yang memakai jersi hijau kuning.

Belum pun reda jaringan awal Kedah itu, benteng pertahanan Perak tergamam lagi dua minit selepas itu dengan giliran Marlon Alex James yang menerima hantaran Hasmawi Hassan sambil memusingkan badan terus merembat kencang mengatasi Mohd. Nasril buat kali kedua.

Dua gol tersebut terus merentap semangat juang Perak yang beraksi dalam keadaan kelam kabut terutama di benteng pertahanan menyaksikan serangan bertali arus.

Jurulatih Perak, Steve Darby membuat keputusan mengejutkan apabila mengeluarkan dua penyerang utama, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou pada pertengahan babak pertama berlangsung.

Malang bertimpa buat skuad Seladang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar diperintah keluar padang apabila pengadil, C. Ravichandran melayangkan kad kuning kedua selepas dia mengkasari Sam Nelson Martin seminit sebelum rehat.

Marlon melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad hijau kuning apabila meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-81.


No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post