Sunday, September 9, 2007

23 perusuh ditahan, tujuh cedera termasuk empat anggota polis

KUALA TERENGGANU 9 Sept — Seramai 23 orang dipercayai pengikut parti pembangkang ditahan kerana merusuh dan bertindak agresif terhadap anggota polis setelah diarahkan bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Seramai tujuh orang termasuk empat anggota polis turut tercedera akibat dipukul oleh perusuh dan dibaling dengan pelbagai objek seperti batu, besi, kayu, dan botol kaca, malahan bom molotov dalam perhimpunan haram yang dihadiri kira-kira 500 orang itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, tiga daripada anggota polis itu dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah diserang sekumpulan lelaki ketika mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud.

“Kira-kira pukul 11.45 malam, anggota terbabit Azmi Hussein, 29, sedang menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn ketika dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukul anggota itu dengan kayu.

“Semasa hendak beredar, seorang lagi lelaki telah memegang bahu anggota berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada cawangan khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, dua lelaki, masing-masing berumur 21 dan 38 tahun daripada kumpulan yang menyerang anggota FRU itu turut tercedera di bahagian bahu dan leher akibat tembakan yang dilepaskan itu dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat kecederaan di kepala dipercayai akibat terkena balingan batu, katanya.

Katanya, kenderaan orang awam dan kenderaan polis turut rosak akibat dibaling batu oleh para perusuh.

Ayub berkata, polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu disebabkan ketidaksesuaian tempat untuk diadakan ceramah kerana terletak dalam kawasan perumahan pegawai kerajaan.

“Sebelum ini kita telah memanggil penganjur yang bertanggungjawab membawa Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim serta beberapa penceramah lain termasuk Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP yang dijadualkan berceramah dalam perhimpunan itu, bagi membincangkan soal permit.

“Kita bercadang untuk meminta mereka memindahkan kawasan ceramah ke Rusila. Namun sehingga pukul 6 petang semalam, wakil mereka gagal hadir untuk berbincang tentang perkara itu,” katanya.

Ayub berkata, bagaimanapun kira-kira pukul 9 malam tadi polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan menyebabkan polis mengambil langkah pencegahan di kawasan perhimpunan itu termasuk mengadakan sekatan jalan.

Beliau berkata, pada kira-kira pukul 10 malam, seramai 300 hingga 400 orang cuba merempuh sekatan tersebut dengan bertindak agresif terhadap kira-kira 350 anggota polis dan FRU dengan membaling pelbagai objek termasuk bom molotov, kayu, besi, botol dan batu.

Pada masa yang sama katanya, polis turut menahan sebuah bas di Jalan Temasya Batu Buruk yang cuba masuk ke kawasan kejadian dan perbincangan diadakan supaya mereka bersurai namun mereka enggan menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air.

Ayub berkata, polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali meminta perusuh bersurai namun keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak lebih agresif.

Melihat keadaan yang semakin tegang, beliau berkata, polis kemudiannya mengambil pendekatan berundur bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku namun keadaan itu telah diambil kesempatan oleh perusuh untuk memusnahkan harta benda awam termasuk mencabut pokok hiasan, pasu bunga dan lampu isyarat.

Katanya, keadaan menjadi reda kira-kira pukul 2 pagi dengan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Artikel Terdahulu


No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post