Saturday, October 27, 2007

Tragedi Digilis Keretapi - Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim (SMAHMY), Hulu Gadong, Maut

REMBAU 26 Okt. – Dua orang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim (SMAHMY), Hulu Gadong, dekat sini, maut apabila digilis kereta api kargo sewaktu tidur di landasan selepas keluar dari asrama tanpa kebenaran untuk minum di pekan Kota di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd. Hafiz Adnan, 14, dari Setapak, Kuala Lumpur dan Fazrul Asri Zulkifli, 14, dari Taman Medan, Petaling Jaya meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badannya.

Lebih menyayat hati, kejadian pukul 11.45 malam dekat Kampung Tanjung itu turut disaksikan lima rakan mangsa yang gagal mengejutkan mereka berdua yang nyenyak tidur.

Dipercayai, mereka keluar dari kawasan sekolah antara waktu Maghrib dan Isyak melalui jalan pintas ke pekan Kota yang kerap digunakan pelajar yang selalu keluar asrama tanpa kebenaran warden.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Mat Dom berkata, sejurus melihat mangsa digilis, lima rakan mangsa bersembunyi di satu kawasan berdekatan kerana ketakutan sebelum kembali semula ke asrama pagi ini.

Katanya, polis melakukan ujian air kencing dan alkohol terhadap lima pelajar terbabit .

“Bagi kelima pelajar yang terselamat itu, hasil ujian adalah negatif manakala sampel darah dua mangsa diambil untuk ujian lanjut, namun laporan awal daripada doktor tidak menunjukkan tanda-tanda pengambilan alkohol.

“Pemeriksaan di sepanjang landasan kereta api tempat berlakunya kemalangan tragis itu juga tidak menemui sebarang botol atau tin minuman keras atau kesan penyalahgunaan dadah,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini hari ini.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan Rumah Mayat Hospital Tampin apabila lebih 60 orang ahli keluarga mangsa dan pelajar SMAHMY hadir untuk urusan tuntutan dan solat jenazah.

Jenazah Fazrul Asri dituntut keluarga untuk dikebumikan di Kampung Jeram, Masjid Tanah, Melaka, manakala Hafiz pula akan dikebumikan di Kampung Terusan, Batu Kikir, Kuala Pilah.



TAMPIN 26 Okt. - Dua pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Mohd Yatim di Gadong, Kota, terbunuh selepas mereka digilis kereta api penumpang Senandung Malam dalam satu kejadian ngeri tengah malam tadi kira-kira 500 meter dari sekolah mereka.

Kedua-dua pelajar yang berumur 14 tahun itu dikenal pasti sebagai Fakrul Asri Zulkefli dan sahabat baiknya, Mohd Hafis Adnan.

Menurut jurucakap polis, sebelum kemalangan itu berlaku, tujuh pelajar sekolah berkenaan melepak di kawasan landasan kereta api itu, namun dua daripada mereka tertidur.

“Lima berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari kedatangan kereta api penumpang Senandung Malam dari Kuala Lumpur ke Singapura, tetapi kedua-dua mangsa masih tidur,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Tampin hari ini.

Beliau berkata, rakan yang lain cuba menyelamatkan mangsa, tetapi tidak sempat kerana kereta api sudah semakin dekat.

Sementara itu, Penyelia Masjid Daerah Tampin, Rawi Mohd, yang dipertanggungjawab mengurus jenazah mangsa memberitahu, kumpulan pelajar itu difahamkan selalu melepak di kawasan landasan kereta api memandangkan kedudukan landasan yang terletak berhampiran sekolah.

Fakrul Asri berasal dari Kampung Jeram di Masjid Tanah, Melaka manakala Mohd Hafis pula dari Kampung Juaseh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Perkarangan Hospital Tampin dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa, rakan dan guru mereka.

Bagaimanapun, mereka enggan ditemubual ekoran terlalu sedih.

1 comment:

  1. Ya Allah...semoga Tuhan meletakkan diornang dlm kalangn org beriman..

    ReplyDelete

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post