Saturday, September 8, 2007

Ais Krim Wall's Halal

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Hrkh) - Penggemar aiskrim di negara ini tidak perlu bimbang untuk menikmati aiskrim keluaran Wall's memandangkan semua aiskrim yang dikeluarkan di negara ini adalah halal.

Pengarah Sumber Manusia dan Perhubungan Korporat, Unilever Malaysia, Nik Mustapha Nik Mohamed, dalam kenyataannya yang disampaikan kepada Harakahdaily, berkata semua produk keluaran Wall's di Malaysia adalah halal dan memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Halal Unilever Malaysia menegaskan sijil halal bagi setiap produk Wall's di negara ini dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan The Central Islamic Committee of Thailand (TCICOT), Majelis Ulama Indonesia (MUI) serta China Islamic Association (CIA) yang merupakan badan-badan Islam luar negara yang diiktiraf Jakim.

"Kami menghormati kepercayaan dan amalan setiap agama serta sensitif terhadap kepentingan mereka yang pelbagai.

"Sebagai sebuah syarikat, kami sentiasa mengambil inisiatif bagi memastikan keperluan pengguna dipenuhi dengan sebaik mungkin," jelas beliau.

Nik Mustapha berkata demikian sebagai menjawab keraguan penggemar aiskrim di negara ini yang membuat panggilan ke pejabat Harakahdaily dan menghantar emel bagi mengetahui status halal produk Wall's, berdasarkan tersebarnya surat daripada Penasihat Khidmat Pengguna, Wall's United Kingdom (UK) kepada S. Timothy Neville kepada seorang pengguna dari Reading, UK, yang bertanyakan kesesuaian produk Wall's untuk pengguna Islam yang tersebar melalui emel.

Nik Mustapha berkata, Unilever Malaysia menegaskan bahawa senarai produk Wall's yang telah dinyatakan dalam surat Neville itu hanyalah khusus untuk produk Wall's bagi pasaran di UK sahaja, memandangkan permintaan dan keperluan pengguna di seluruh dunia adalah berbeza-beza.

"Produk Wall's untuk pasaran Malaysia diperolehi dari dalam negara dan juga diimport dari Indonesia, Thailand dan China. Wall's Malaysia tidak mengimport aiskrim daripada UK atau mana-mana negara di Eropah," tegas Nik Mustapha.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pihak Unilever mengalu-alukan para pengguna untuk menghubungi di talian 1800881315.

2 comments:

  1. ada isu ke pasal kehalalan walls sebelum ni?

    ReplyDelete
  2. Untuk makluman Sebol:
    Blog HarianDAILY adalah sebuah blog informasi. Tidak timbul masalah sama ada "ada" atau "tidak ada" isu pasal kehalalan Walls dalam blog ini sebelum ini. Sebagai rujukan saudara boleh rujuk laman web pengguna islam malaysia di http://www.muslimconsumer.org.my/ untuk mengetahuinya lebih lanjut.

    ReplyDelete

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post