Saturday, September 8, 2007

Bajet 2008 : Yuran Sekolah Percuma

KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah di negara ini adalah percuma.

Bajet 2008 yang dibentangkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat semalam, memansuhkan yuran tahunan sekolah rendah dan menengah serta memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.

Sejajar dengan salah satu strategi utama bajet bertemakan ‘Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran’ itu – memperkasa pembangunan modal insan – Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan biasiswa pelajar institusi pengajian tinggi tempatan antara 23 peratus hingga 84 peratus, manakala sehingga 97 peratus bagi yang melanjutkan pengajian di universiti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bilangan pelajar ijazah pertama di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditambah daripada 5,000 sekarang kepada 10,000 setahun.

Mencerminkan hasrat kerajaan memastikan kekayaan negara terus berkembang dan dapat dinikmati semua rakyat, Bajet 2008 dengan peruntukan berjumlah RM176.9 bilion, 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2007, turut menggariskan dua strategi lain iaitu menjamin kesejahteraan rakyat dan meningkat daya saing negara.

Untuk itu, perbelanjaan kerajaan akan terus ditumpu kepada membina kapasiti bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat.

Daripada jumlah yang diperuntukkan, RM48.1 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan dengan RM20.6 bilion bagi sektor ekonomi merangkumi pertanian, perindustrian dan infrastruktur; RM15.6 bilion untuk sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan, manakala bakinya untuk keselamatan, pentadbiran dan simpanan luar jangka.

Selaras strategi menjamin kesejahteraan rakyat, Abdullah menggariskan pelbagai langkah, antaranya peruntukan RM381 juta untuk melaksanakan perumahan rakyat kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan PPR Bersepadu.

Syarikat Perumahan Negara Berhad pula akan menggiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, iaitu 6,000 unit di Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik dan 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.

Bagi meringankan beban pembeli rumah, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Kemudahan itu adalah untuk sebuah rumah saja dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2008.

Abdullah turut mengumumkan pengecualian 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi sebuah rumah yang berharga tidak lebih RM250,000.

“Langkah ini akan mengurangkan kos pembelian sebuah rumah sehingga 2,000 ringgit,” katanya.

Di bawah strategi menjamin kesejahteraan rakyat itu, Bajet 2008 menyediakan peruntukan besar bagi pelbagai skim pembasmian kemiskinan dengan matlamat menjana pendapatan pendudukan di kawasan kurang maju dan terpencil.

Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin, Perdana Menteri mengumumkan menaikkan wang bantuan kepada golongan itu kepada RM300 daripada RM200 sekarang.

Bank Negara Malaysia pula akan menerbitkan bon bernilai RM2 bilion khusus untuk langganan warga emas berumur lebih 55 tahun bagi meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka. Kadar maksimum bon yang boleh dilanggan ialah RM50,000 seorang dengan tempoh matang tiga tahun dan kadar pulangan lima peratus setahun.

Untuk orang kurang upaya (OKU), bajet itu menaikkan kadar elaun bulanan pekerja golongan itu kepada RM300 daripada RM200 dan memberi bantuan khas RM300 sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit menghidap penyakit kronik.

Menyedari keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri memperuntukkan RM6 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi 2008.

Antara lain ia adalah untuk pengambilan 60,000 anggota polis baru serta pembelian kelengkapan termasuk memasang lebih banyak CCTV yang dihubungkan ke pusat kawalan Polis.

Bagi menyediakan persekitaran kondusif bagi pelaburan swasta, di samping meningkatkan daya saing negara, Abdullah semalam antara lain mengumumkan penurunan lagi cukai korporat kepada 25 peratus pada 2009.

Pada Bajet 2007 tahun lalu, beliau telah mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi 2007 dan 26 peratus bagi 2008.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan sistem cukai satu peringkat bagi syarikat berkuat kuasa tahun taksiran 2008. Di bawah sistem itu, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima pemegang saham dikecualikan daripada cukai.

Beliau juga mengumumkan pelbagai langkah dan insentif bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam, memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran tinggi, meningkatkan daya saing pasaran modal dan memperkukuhkan tadbir urus korporat.

Bajet 2008 menggariskan beberapa langkah ke arah mengukuhkan lagi usaha menjadikan Malaysia pusat kewangan Islam antarabangsa.

Bagi menggalakkan pelaburan dari negara Asia Barat, tiga lesen firma broker saham baru akan dikeluarkan kepada syarikat terkemuka yang boleh menarik dana dan menjadi perantara bagi aliran perniagaan dan urus niaga dari rantau itu.

Abdullah menegaskan, dengan dasar dan strategi Bajet 2008, kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh antara enam hingga 6.5 peratus tahun depan didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta penggunaan awam walaupun persekitaran ekonomi dunia dan serantau dijangka lebih mencabar,

Katanya, dengan pengurusan perbelanjaan berhemat kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan juga diunjurkan lebih baik dengan defisit dikurangkan lagi kepada paras 3.1 peratus tahun depan.

Sumber


No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post