Sunday, September 9, 2007

Tragedi Batu Buruk: Polis Lepaskan Peluru Hidup?

Harakah: Pencinta Keamanan
Sun | Sep 09, 07 | 02:04:09 PM

SURAT PILIHAN|Saya tertarik dengan tulisan Songkok Putih, dalam tranungkite.net mengenai kejadian malam tadi, yang begitu memeranjatkan dan akan dirakam sebagai rekod hitam dalam sejarah negara. Izinkan saya rakamkan dahulu catatan berkenaan:

"Saya telah dihujani dengan pelbagai pangilan untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian yang berlaku pada Ceramah anjuran Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September 2007.

"Saya akan cuba memberikan maklumat seringkas yang boleh untuk memberikan gambaran sebenar mengenai kejadian malam tadi.

"Sekitar pukul 5.00 petang semua jalan ke tempat Ceramah Batu Buruk ditutup oleh pihak polis. Ini memberikan kesukaran kepada mereka yang ingin pulang daripada bandar Kuala Terengganu ke rumah masing-masing melalui jalan di sana.

"Pada malam tersebut, semua laluan ke tempat ceramah tidak dibenarkan. Mereka yang ingin berjalan kaki pun tidak dibenarkan sama sekali ke sana. Ini membuatkan orang ramai marah dengan tindakan polis dan mereka berkumpul di tempat sekatan jalan raya.

"Ada maklumat mendakwa pentas ceramah dibakar. Oleh kerana polis telah membuat sekatan, soalnya, bagaimana ia boleh terbakar. Orang ramai makin marah. Timbul pelbagai persoalan sama ada polis yang bakar atau orang Umno yang membakar.

"Suasana makin tegang, maka timbul kata-kata “Ini DUN Batu Buruk, kalau Batu 6 boleh mempertahan kewibawaannya, kenapa tidak Batu Buruk!”

"Sikap tidak profesional polis ditambahkan pula begitu ramai kehadiran golongan pemuda dan remaja, ketegangan makin kemuncak. Remaja sepatutnya dilayan dengan sikap yang berlembut dan berhemah tetapi apabila dikasari mereka ia akan mengundang kejadian tidak diingin. Ajaran Islam dan Barat juga mengajar bagaimana pihak penguasa sepatutnya mengatasi masalah remaja.

"Dalam suasana tegang, tiada apa yang baik dan tidak ada yang kita hendak persalahkan kerana mereka semua berada dalam emosi yang tinggi.

"Polis dan FRU telah melepaskan gas pemedih mata dan semburan water canon. Mengikut maklumat yang diberikan, suasana ketika itu mencatat satu rekod, kerana gas pemedih mata yang paling banyak ditembak ke arah orang ramai.

"Suasana makin gawat, maka pertempuran golongan remaja dengan pihak polis dan FRU berlaku.

"Dalam kejadian ini dua orang telah ditembak dengan peluru hidup. Dikatakan seorang anak muda dari Binjal Rendah telah ditembak di dada, menghampiri paru-paru. Manakala budak Pasir Panjang telah ditembak dileher, saya tak pasti status budak ini, kedua-duanya sekarang ini berada di Hospital Besar Kuala Terengganu.

"Dalam kejadian ini 6 atau 7 orang pihak polis dan FRU juga turut tercedera. Banyak tangkapan telah dibuat, mengikut maklumat yang kami terima lebih daripada 70 orang ditangkap.

"Pada pukul 2.00 remaja masih belum beredar, walaupun pihak polis dan FRU mengundur diri. Mereka yang tinggal ini mula membakar tayar, memecah pasu bunga dan membuat kacau bilau di jalan raya. Menurut cerita ada kejar mengejar berlaku lagi sehingga pukul 3.30 pagi.

"Pagi ini suasana tempat kejadian telah tenang. Saya cuba mendapatkan komen daripada beberapa pimpinan PAS. Antara lain disebut jika polis profesional menangani kejadian seperti ini tak akan berlaku.

"Komen orang awan juga menyebut polis tidak begitu bijak menangani suasana remaja dan Umno cuba membuat kacau bilau bila PAS mengada ceramah. "Jika tiada gangguan polis, ceramah PAS ok aje," komen mereka."

Saya tidak mahu ulas lanjut memandangkan isu ini mungkin mengakibatkan situasi lebih serius dan tegang, apatah lagi Terengganu merupakan negeri yang menjadi sasaran utama bagi PAS dalam pilihan raya akan datang.

Saya bimbang insiden tragis ini akan dieksploit oleh Umno-BN bagi memberikan gambaran buruk kepada wajah PAS. Hal ini tidaklah memeranjatkan jika dilihat rekod pemerintah masa lalu, yang akan melakukan apa saja untuk menjauhkan pengundi daripada menyokong PAS.

Saya mengharapkan pihak pimpinan PAS dapat melakukan yang terbaik menangani peristiwa yang cukup memalukan ini, terutama dilihat dalam konteks usaha untuk memulihkan demokrasi di negara ini. Ya, sesuatu yang cukup ironis berlaku dalam majlis anjuran Bersih, yang mutakhir ini berkempen di seluruh negara, bagi memastikan pilihan raya ke-12 nanti berjalan secara telus, adil dan bebas.

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post