Sunday, September 9, 2007

Tragedi Batu Buruk: Polis 'Hilang Akal' Hadiahkan Peluru Hidup Untuk Surai Majlis Ceramah

Harakah: Aniz Nazri
Sun | Sep 09, 07 | 04:01:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) -Tindakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, serta pihak polis 'menghadiahkan' peluru hidup kepada rakyat yang berhimpun secara aman dilihat bagaikan sudah 'hilang akal' dalam negara yang sering melaungkan demokrasi.

ImageNaib Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika dihubungi sebentar tadi berkata tragedi di Batu Buruk, Kuala Terengganu malam tadi merupakan kejadian kali pertama beliau mendengar pihak polis menggunakan peluru hidup apabila berhadapan dengan rakyat yang berhimpun secara aman untuk mendengar ceramah politik.

"Apabila polis menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan demonstrasi, bagi saya, ia merupakan satu rekod selepas 50 tahun kita merdeka," tegasnya.

"Ini bukannya perhimpunan membantah dasar kerajaan. Ini adalah ceramah yang lazim diadakan pada setiap malam di negara ini. Ia perkara biasa, dan pihak polis sama sekali tidak perlu menggunakan kekerasan, apatah lagi menggunakan peluru hidup, untuk menyuraikannya.

Selama ini, ceramah yang dianjurkan oleh PAS, KeADILan dan DAP tidak menimbulkan apa-apa masalah kecuali jika ia diganggu pihak polis," tegas beliau yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan FRU itu.

Beliau memberi respon demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku di Batu Buruk, Terengganu, malam tadi, yang mencetuskan ketegangan selepas pihak polis menghalang orang ramai daripada menghadiri ceramah anjuran Bersih (Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih) itu.

Mohamad juga dijadualkan memberi ceramah pada malam tersebut, bersama-sama Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim, dan anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP. Turut serta Dato' Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, seramai 350 anggota polis daripada pelbagai cawangan termasuk Polis Simpanan Persekutuan (FRU) serta dua trak penyembur air berasid dikejarkan ke tempat kejadian. Orang ramai dihalang ke lokasi ceramah sejak jam 2 petang semalam lagi.

Dua pemuda cedera parah ditembak peluru hidup oleh polis manakala berpuluh-puluh cedera dalam pertempuran antara orang ramai dan polis dalam insiden itu. Difahamkan seorang daripadanya masih dalam keadaan kritikal.

Kecederaan berlaku di pihak orang awam dan juga polis manakala berbelas-belas telah ditahan sehingga kini termasuklah wartawan TVPAS.

Dalam pada itu, Mohamad mendesak supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini memandangkan tindakan ganas yang dilakukan pihak polis. - mks.

Artikel Terdahulu:

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post