Sunday, September 9, 2007

Polis kuatkuasa undang-undang tanpa campur tangan kerajaan, kata Najib

PETALING JAYA 9 Sept — Tindakan pihak polis dalam menangani rusuhan oleh penyokong parti pembangkang di Terengganu malam tadi adalah berasas kepada tanggungjawab mereka untuk menguatkuasakan undang-undang negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata. mereka tidak perlu merujuk kepada kerajaan untuk melaksanakan tugas mereka, sebaliknya boleh bertindak di atas budi bicara sendiri.

“Ini merupakan bidang kuasa pihak polis. Pihak kerajaan tidak beri apa-apa arahan kerana pihak polis telah menguatkuasakan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyertai pertandingan Golf Jemputan Business Times, di sini.

Najib yang diminta mengulas mengenai kejadian kira-kira 500 penyokong parti pembangkang merusuh di Terengganu malam tadi yang turut menyebabkan tujuh cedera termasuk empat anggota polis, berkata beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, penyokong pembangkang bertindak agresif apabila diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Mereka antara lain bertindak menyerang anggota polis serta membaling pelbagai objek seperti batu, besi, kayu, dan botol kaca, serta bom molotov.

Polis menahan 23 orang dipercayai pengikut parti pembangkang kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Sambil mengingatkan penyokong Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bahawa undang-undang negara terpakai untuk semua, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, tidak ada unsur pilih kasih pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut.

“Mana-mana pihak termasuk parti Umno dan parti-parti komponen BN kalau kita nak adakan apa-apa majlis kita mesti memperolehi permit daripada pihak polis.

“Jadi peraturan ini adalah untuk semua pihak bukan saja untuk pembangkang tapi untuk parti-parti kerajaan juga,” katanya.

Najib berkata, pihak pembangkang juga harus menerima hakikat bahawa mereka terikat dengan undang-undang negara ini.

“Kalau kita tak patuh kepada undang-undang maka negara kita ini boleh jadi anarkilah, tak ada orang yang hormat pada undang-undang negara,” katanya

Artikel Terdahulu:

No comments:

Post a Comment

Please give some comment to this post if you like it...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post