Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Sunday, September 9, 2007

Piala Malaysia: Kedah Menang, Perak Kalah

KEDAH.....3
Mohd. Khyril Muhymeen (24)
Marlon Alex James (26, 81)
PERAK......0

Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Kedah merampas kembali kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila dinobatkan selaku juara edisi ke-81 menewaskan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan disaksikan hampir 81,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan melihat keunggulan Kedah meraih kejayaan ketiga musim ini sesudah bergelar juara Liga Super dan Piala FA, kini kemarau 14 tahun ditamatkan

Kali terakhir Kedah merangkul piala berprestij ini pada 1993 tertunai juga di hadapan puluhan ribu penyokong setia hijau kuning.

Kehadiran Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah melihat pemain didikan jurulatih Azraai Khor Abdullah mempamerkan aksi paling mantap untuk mengekang Perak daripada bergelar juara.

Dua gol selang dua minit menerusi pemain lincah kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen di minit 24 dan rembatan cantik Marlon Alex James pada minit ke-26 dan 81 menjadi pemusnah meranapkan impian menggunung Perak mahu menamatkan penantian tujuh tahun apabila kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2000. Sejurus pengadil, Ravichandran meniupkan wisel penamat, pemain berpelukan sesama sendiri sambil rakan mereka dibangku simpanan menyerbu masuk ke padang sambil diiringi pekik sorak penyokong Hijau Kuning.

Manakala buat Perak, perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2006-07 bakal menjadi sejarah hitam, tempang ketiadaan dua penyerang, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou akibat kecederaan dikeluarkan pada pertengahan babak pertama, mereka longlai apabila beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar di perintah keluar padang pada minit ke-44.

Suasana stadium makin menjadi kecoh apabila sebahagian penyokong Perak yang kecewa dengan kekalahan pasukan mereka membaling mercun, botol mineral, sampah sarap dan pelbagai barangan lain ke arah penonton yang berada di bawah sejurus Marlon menjaringkan gol ketiga Kedah.

Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Kedah menerusi larian solo pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen mengelecek pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-24.

Gol tersebut terus menggamatkan stadium dengan pekik sorak penyokong Kedah yang memakai jersi hijau kuning.

Belum pun reda jaringan awal Kedah itu, benteng pertahanan Perak tergamam lagi dua minit selepas itu dengan giliran Marlon Alex James yang menerima hantaran Hasmawi Hassan sambil memusingkan badan terus merembat kencang mengatasi Mohd. Nasril buat kali kedua.

Dua gol tersebut terus merentap semangat juang Perak yang beraksi dalam keadaan kelam kabut terutama di benteng pertahanan menyaksikan serangan bertali arus.

Jurulatih Perak, Steve Darby membuat keputusan mengejutkan apabila mengeluarkan dua penyerang utama, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou pada pertengahan babak pertama berlangsung.

Malang bertimpa buat skuad Seladang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar diperintah keluar padang apabila pengadil, C. Ravichandran melayangkan kad kuning kedua selepas dia mengkasari Sam Nelson Martin seminit sebelum rehat.

Marlon melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad hijau kuning apabila meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-81.


Thursday, August 30, 2007

Pesta Bola Merdeka Edisi ke 39 : Malaysia Menang

SHAH ALAM – Sambutan ulang tahun ke-50 Kemerdekaan negara bertambah ceria apabila skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 menghadiahkan gelaran kejuaraan Pestabola Merdeka Edisi ke-39 selepas menewaskan penyandang juara, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Malam penuh gemilang menyaksikan tiga gol menerusi Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-12), jaringan sendiri Myanmar Moe Win (m-55) dan Safee Sali (m-60) mengangkat semula martabat bola sepak negara dengan aksi paling menakjubkan disaksikan kira-kira 45,000 penyokong.

Sorakan paling gemuruh dan penonton paling ramai tahun ini menyaksikan aksi bertenaga melihat betapa anak didik B. Sathianathan membuktikan bola sepak Malaysia masih belum berkubur.

Kemenangan tersebut buat kali ke-11 turut meleburkan kemarau 14 tahun tanpa gelaran apabila kali terakhir skuad kebangsaan bergelar juara pada kejohanan ini ketika barisan yang diketuai oleh Dollah Salleh dan Azman Adnan menewaskan Korea Selatan B 3-1 pada 1993.

Lebih manis kejayaan paling gemilang tahun ini menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia esok turut disaksikan buat pertama kali Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sumber

Monday, July 30, 2007

Iraq Juara Piala Asia

Ketua pasukan Iraq, Younis Mohmoud (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan sambil pemain Arab Saudi begitu hampa pada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta, semalam. Iraq menang 1-0

JAKARTA – Ketua pasukan, Younis Mahmoud muncul wira apabila gol jaringannya menghadiahkan kejuaraan Piala Asia kali pertama buat Iraq dalam sejarah pertandingan itu semalam.

Tandukan berharga Younis pada minit ke-71 membolehkan Iraq menewaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno itu.

Permainan yang berlangsung pantas dengan gerakan-gerakan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan Tanah Arab itu berakhir dengan penuh dramatik dan bersejarah buat Iraq yang masih dibelenggu peperangan.

Sumber

Monday, July 16, 2007

Tengku Abdullah letak semua jawatan FAM

KUALA LUMPUR 15 Julai – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah secara rasmi meletakkan semua jawatan dalam badan induk itu berkuat kuasa hari ini selepas 15 tahun menjawat jawatan tersebut.

Baginda tidak menyatakan alasan peletakan jawatan itu namun ia dipercayai ada kaitan dengan prestasi buruk pasukan kebangsaan.

Skuad negara yang dibimbing oleh jurulatih Norizan Bakar tersingkir daripada memburu tempat ke suku akhir selepas kekalahan memalukan 1-5 kepada China dalam perlawanan pertama dan semalam diaibkan pula oleh Uzbekistan apabila tunduk 0-5.

Dalam reaksi kepada kekalahan pasukan kebangsaan dengan China itu yang turut dikritik hebat oleh peminat di seluruh negara, Tengku Abdullah ternyata kecewa dan hampa.

Surat peletakan Tengku Abdullah diterima oleh Pegawai Khas kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Husin Mohamad Anwar kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post