Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts

Thursday, February 14, 2008

Tarikh Mengundi Pilihanraya ke12

PUTRAJAYA 14 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih tarikh 8 Mac sebagai hari rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-12.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 24 Februari ini, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tempoh berkempen dalam pilihan raya itu adalah selama 14 hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Parlimen Dibubarkan

PUTRAJAYA 13 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan, iaitu 15 bulan sebelum mandat penggal sekarang berakhir pada Mei 2009.

Serentak itu, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak turut dibubarkan.

Perdana Menteri memberitahu sidang akhbar di sini pada pukul 12.35 tengah hari bahawa beliau diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk mendapat perkenan bagi membubarkan Parlimen ke-11 berkuat kuasa hari ini.

“Seri Paduka telah menandatangani Perisytiharan Pembubaran Parlimen pada hari ini. Kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihati supaya membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa tarikh yang sama,” katanya.

Sepanjang sidang akhbar sepuluh minit itu, Abdullah berdiri di rostrum yang terletak di sebelah bendera Malaysia di Bilik Sidang Akhbar Jabatan Perdana Menteri di sini ditemani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parlimen telah dimaklumkan berkenaan pembubaran itu.

“SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi,” katanya.

Pengumuman Abdullah itu sekali gus menamatkan spekulasi tarikh pilihan raya umum ke-12 yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, Abdullah berharap pilihan raya umum kali ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004.

Pada pilihan raya itu, BN menang 198 daripada 219 kerusi Parlimen dan memperoleh undi popular 64 peratus. Ia merupakan antara pencapaian terbaik BN dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak 50 tahun lalu.

Sebelum Parlimen dibubarkan hari ini, pembangkang mempunyai 20 kerusi di Dewan Rakyat iaitu DAP 12 kerusi, Pas enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Di peringkat DUN, BN menguasai 454 kerusi, Pas 36 kerusi manakala DAP 15 kerusi. BN memerintah di semua negeri kecuali Kelantan.

Perdana Menteri meminta pengundi memberi sokongan besar kepada BN demi manfaat mereka dan kepentingan negara.

‘‘Saya berharap pengundi faham isu-isu dalam negara, beri penilaian secara objektif dan beri undi kepada BN,” katanya.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-12 manakala 505 kerusi DUN akan direbut parti-parti politik di peringkat negeri.

Pilihan raya umum kali ini turut menyaksikan pertambahan tiga kerusi baru bagi Parlimen Sarawak ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2006.

Abdullah percaya BN akan meraih kemenangan besar berdasarkan prestasi parti pemerintah itu yang melaksanakan segala janjinya.

Katanya, program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan BN telah memberi manfaat kepada rakyat.

Menjelang hari pengundian, kata beliau, jentera BN telah disusun rapi bagi menghadapi pilihan raya umum dan apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah untuk menggerakkannya.

Mengenai senarai calon pilihan raya BN, Abdullah berkata, ia akan menyaksikan gabungan muka lama dan muka baru.

‘‘Apabila senarai itu telah ditetapkan, maka pada waktu itu kita akan tahu berapa orang muka lama, berapa orang muka baru,” katanya.

Perdana Menteri turut ditanya mengapa beliau membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahun yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

‘‘Tidak salah. Tidak ada kesalahan (bubar lebih awal). Saya fikir elok juga. Kalau kita hendak buat (pilihan raya) pada waktu ini pun tak apa.

“Saya percaya dengan kekuatan mandat nanti, insya-Allah kita akan dapat meneruskan usaha-usaha kita untuk memajukan negara dan memberi nikmat kepada rakyat,” ujarnya.

Abdullah juga yakin pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan perayaan dan aktiviti masyarakat Cina yang masih merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai keistimewaan tarikh 13 Februari sehingga beliau memilih tarikh itu bagi membubarkan Parlimen, sambil ketawa Abdullah berkata: “Tak payah ulaslah, tak payah ulaslah.”

Angka 13 diketahui umum merupakan angka kegemaran Perdana Menteri.

Malah ketika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini, beliau yang ditemani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menaiki kenderaan rasmi Proton Perdana bernombor pendaftaran WCH13.

Banyak pihak sebelum ini meramalkan pengundian akan diadakan pada 1 atau 8 Mac ini manakala hari penamaan calon dijangka diadakan 10 hari sebelum itu pada minggu terakhir bulan ini.

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Dalam beberapa pilihan raya umum lepas, SPR menetapkan tempoh kempen hanya selama 10 hari. Biasanya kerajaan telah dibentuk tidak sampai tiga minggu selepas Parlimen dibubarkan.

Pada pilihan raya umum ke-11, hari pembubaran Parlimen, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari.


Sunday, December 16, 2007

Hukum Ibadah Korban

Ibadah KorbanHari Raya Aidiladha adalah salah satu hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam. Dalil disyariatkan Aidiladha adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik r.a, dia berkata, Nabi s.a.w. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah, maka baginda bersabda, Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri. (Riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959). Oleh: MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai Hari Raya Haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu rukun Islam iaitu ibadat Haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana di antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri dalam rangka beribadat kepada Allah s.w.t.

Ibadat korban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi IbrahimSembelihan Korban a.s. yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. kerana taatkan perintah Allah. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak Allah maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, Allah gantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Saaffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini maka saban tahun ketika merayakan Hari Raya Aidiladha, maka umat Islam menyembelih binatang-binatang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.


KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAT KORBAN

Ibadat korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya. Ini sebagaimana ditekankan oleh Allah melalui firman-Nya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 36-37)

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadat korban seperti berikut:

1) Ibadat korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat. Ia mempereratkan hubungan kasih sayang di antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dan dengan golongan yang bernasib baik yang dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan dan kelapangan hidup melalui pengagihan daging-daging korban tersebut.

2) Ibadat korban juga berupaya membentuk insan yang bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

3) Ibadat korban juga dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit dibelanjakan hanya demi untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada Allah kerana menurut perintahnya.

5) Ibadat korban merupakan amalan yang mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadat tersebut bakal menerima khabar gembira daripada Allah iaitu balasan serta ganjaran yang baik daripada-Nya.

HUKUM IBADAT KORBAN

Tentang hukum melaksanakan ibadat korban maka para ulama berbeza pendapat yang dapat kita bahagikan kepada dua:-

1) Wajib bagi yang mampu. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi'ah al-Ra'yi, al-Auza'i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan pendapat ini dirajihkan (dibenarkan) oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah.

Dalil-dalil yang dipakai oleh mereka yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:- Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al-Kauthar: 2).

Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadat korban sebagaimana solat kerana kedua ibadat tersebut dihubungkan dengan huruf wau (dan) yang menunjukkan kesamaan hukum.

Daripada Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali, dia berkata: Nabi s.a.w. solat pada hari Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang ) korbannya dan bersabda: Barang siapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), maka sembelihlah yang lain sebagai penggantinya. Dan barang siapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama Allah. (Riwayat Bukhari di dalamShahih al-Bukhari, hadis no: 985).

Perintah Rasulullah s.a.w. untuk mengulangi ibadat korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia wajib. Jika tidak wajib pasti baginda tidak akan mengarahkan agar ia diulang semula.

*Wajib

Dari Mikhnaf bin Sulaim, dia berkata: Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah, lalu berkata: Wahai manusia. Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahunnya (mengerjakan ibadat) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu? Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab). (Riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, hadis no. 1438).

Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadat korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walaubagaimanapun hukum untuk ‘atirah telah dimansuhkan namun ia tidak mengharuskan pemansuhan ibadat korban dan hukumnya yang wajib masih terus sah sampai sekarang.

2) Sunat atau sunat muakkad bagi yang mampu. Pendapat ini pula merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam al-Syafie r.h. Golongan ini pula berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:-

Daripada Ummu Salamah, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Jika masuk 10 hari pertama Zulhijjah dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih (haiwan) korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. (Riwayat Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Adhohi, hadis no: 1977).

Ini adalah dalil bahawa ibadat korban itu tidak wajib dengan dasar sabda Nabi dan salah seorang dari kalian ingin yang menggambarkan baginda menyerahkan kepada kehendak seseorang.

Seandainya ibadat korban itu wajib pasti baginda tidak akan menyerahkannya kepada kehendak seseorang dengan bersabda: “Maka janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”

Daripada Jabir, dia berkata: Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w. solat Aidiladha di musholla (tanah lapang). Ketika selesai khutbahnya, baginda turun dari mimbarnya, lalu dibawakan seekor kambing dan Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri dan berkata: Bismillah wa Allahu Akbar hadza ‘anni wa ‘amman lam yudhahi min ummati (Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar, ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih). (Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 2427).

Sabda Rasulullah s.a.w: Ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih disampaikan secara mutlak tanpa perincian merupakan dalil tidak wajibnya ibadat korban. Sekiranya ia wajib tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadat tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada mereka.

Kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah sabit daripada baginda s.a.w. dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.

Apa pun jua hendaklah kita mengikuti saranan Syaikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti agar sentiasa mengerjakan ibadat korban ini apabila mampu bukan sahaja kerana menyahut seruan baginda s.a.w. agar, “Tinggalkanlah yang ragu kepada yang tidak ragu”.

Sebaliknya, ia membuktikan kepatuhan kita kepada perintah Allah s.w.t serta kesungguhan kita untuk menghidupkan sunah Nabi s.a.w.

Oleh:

MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS - Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad.

Thursday, November 15, 2007

Keputusan UPSR 2007 Hari Ini

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 akan dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua calon boleh mendapatkan keputusan mulai pukul 10 pagi di sekolah masing-masing.

Seramai 511,519 calon menduduki UPSR iaitu 504,537 orang atau 98.6 peratus calon sekolah kementerian dan 6,982 calon sekolah swasta.

Saturday, October 27, 2007

Tragedi Digilis Keretapi - Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim (SMAHMY), Hulu Gadong, Maut

REMBAU 26 Okt. – Dua orang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim (SMAHMY), Hulu Gadong, dekat sini, maut apabila digilis kereta api kargo sewaktu tidur di landasan selepas keluar dari asrama tanpa kebenaran untuk minum di pekan Kota di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd. Hafiz Adnan, 14, dari Setapak, Kuala Lumpur dan Fazrul Asri Zulkifli, 14, dari Taman Medan, Petaling Jaya meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badannya.

Lebih menyayat hati, kejadian pukul 11.45 malam dekat Kampung Tanjung itu turut disaksikan lima rakan mangsa yang gagal mengejutkan mereka berdua yang nyenyak tidur.

Dipercayai, mereka keluar dari kawasan sekolah antara waktu Maghrib dan Isyak melalui jalan pintas ke pekan Kota yang kerap digunakan pelajar yang selalu keluar asrama tanpa kebenaran warden.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Mat Dom berkata, sejurus melihat mangsa digilis, lima rakan mangsa bersembunyi di satu kawasan berdekatan kerana ketakutan sebelum kembali semula ke asrama pagi ini.

Katanya, polis melakukan ujian air kencing dan alkohol terhadap lima pelajar terbabit .

“Bagi kelima pelajar yang terselamat itu, hasil ujian adalah negatif manakala sampel darah dua mangsa diambil untuk ujian lanjut, namun laporan awal daripada doktor tidak menunjukkan tanda-tanda pengambilan alkohol.

“Pemeriksaan di sepanjang landasan kereta api tempat berlakunya kemalangan tragis itu juga tidak menemui sebarang botol atau tin minuman keras atau kesan penyalahgunaan dadah,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini hari ini.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan Rumah Mayat Hospital Tampin apabila lebih 60 orang ahli keluarga mangsa dan pelajar SMAHMY hadir untuk urusan tuntutan dan solat jenazah.

Jenazah Fazrul Asri dituntut keluarga untuk dikebumikan di Kampung Jeram, Masjid Tanah, Melaka, manakala Hafiz pula akan dikebumikan di Kampung Terusan, Batu Kikir, Kuala Pilah.



TAMPIN 26 Okt. - Dua pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Mohd Yatim di Gadong, Kota, terbunuh selepas mereka digilis kereta api penumpang Senandung Malam dalam satu kejadian ngeri tengah malam tadi kira-kira 500 meter dari sekolah mereka.

Kedua-dua pelajar yang berumur 14 tahun itu dikenal pasti sebagai Fakrul Asri Zulkefli dan sahabat baiknya, Mohd Hafis Adnan.

Menurut jurucakap polis, sebelum kemalangan itu berlaku, tujuh pelajar sekolah berkenaan melepak di kawasan landasan kereta api itu, namun dua daripada mereka tertidur.

“Lima berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari kedatangan kereta api penumpang Senandung Malam dari Kuala Lumpur ke Singapura, tetapi kedua-dua mangsa masih tidur,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Tampin hari ini.

Beliau berkata, rakan yang lain cuba menyelamatkan mangsa, tetapi tidak sempat kerana kereta api sudah semakin dekat.

Sementara itu, Penyelia Masjid Daerah Tampin, Rawi Mohd, yang dipertanggungjawab mengurus jenazah mangsa memberitahu, kumpulan pelajar itu difahamkan selalu melepak di kawasan landasan kereta api memandangkan kedudukan landasan yang terletak berhampiran sekolah.

Fakrul Asri berasal dari Kampung Jeram di Masjid Tanah, Melaka manakala Mohd Hafis pula dari Kampung Juaseh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Perkarangan Hospital Tampin dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa, rakan dan guru mereka.

Bagaimanapun, mereka enggan ditemubual ekoran terlalu sedih.

Wednesday, October 10, 2007

Dr Sheikh Muszaphar Bakal Angkasawan Negara

BAIKONUR (KAZAKHSTAN) 9 Okt. - Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 35, dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk misi ke angkasa lepas esok.

Doktor bedah ortopedik berusia 35 tahun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Seremban itu akan berada 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Beliau akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome pada pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis berkata, pemilihan Dr Sheikh Muszaphar berasaskan pencalonan asal oleh Malaysia kepada Roscosmos yang mencalonkan Dr Sheikh Muszaphar sebagai calon pertama dan Kapten Dr Faiz Khaleed, 27, sebagai calon kedua.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan mengambil kira laporan semua komponen dan pihak yang terlibat dalam melatih kedua-dua angkasawan itu, katanya.

Beliau berkata, semasa keputusan itu diumumkan, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz serta krew masing-masing turut hadir.

Katanya, mesyuarat setengah jam itu juga bersetuju supaya Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/09 dan sementara itu, dibenarkan turut berlatih di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, di Star City, Moscow, Rusia.

Jamaluddin berkata, beliau akan mengemukakan cadangan mesyuarat itu mengenai Dr Faiz kepada Kabinet sekembalinya dari pelancaran misi itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlakunya pertukaran krew misi dalam tempoh empat jam sebelum pelancaran.

“Saya juga telah mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Rusia kerana menjadikan misi ini berjaya, yang amat bersejarah sempena kemerdekaan negara kita.

“Ia juga amat signifikan bagi Rusia kerana tahun ini sempena 50 tahun negara itu menghantar satelit pertamanya buatan manusia (Sputnik) ke angkasa lepas,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas dimaklumkan oleh mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Jamaluddin juga berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Rusia kerana membantu saintis Malaysia membuat persediaan bagi kerja penyelidikan di angkasa oleh Dr Sheikh Muszaphar nanti.

Katanya, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz turut diberi kesempatan menyampaikan ucapan kepada jawatankuasa itu dalam Bahasa Rusia.

Program angkasawan negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Tuesday, October 9, 2007

Angkasawan Negara Berlepas Esok

BAIKONUR, Kazakhstan 8 Okt. – Roket pelancar Soyuz yang bakal membawa angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) Rabu ini dibawa ke tapak pelancarannya di Baikonur Cosmodrome dekat sini hari ini.

Roket tersebut yang telah dicantumkan dengan kapsul Soyuz sejak semalam dibawa menggunakan kereta api khas dari hangar yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari tapak pelancaran berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, sebaik tiba di tapak pelancaran, roket pelancar Soyuz menjalani uprighting process iaitu ditegakkan.

‘‘Ia merupakan proses terakhir sebelum roket itu dilancarkan Rabu ini. Ketika ini semua persiapan logistik dan teknikal berhubung roket pelancaran berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Angkasawan Malaysia yang terpilih menyertai misi Soyuz TMA-11 Rabu ini bakal diterbangkan dengan kapal angkasa itu ke ISS.

Angkasawan itu akan melawat ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

Di ISS, angkasawan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, atau Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Program angkasawan negara itu merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

Jamaluddin berkata, selain persiapan logistik, persiapan berkaitan dengan penyelidikan juga berjalan lancar.

Menurutnya, kesemua saintis yang terlibat sudah berada di Baikonur untuk melakukan persiapan terakhir.

‘‘Kesemua peralatan dan bahan kajian telah dibawa masuk ke dalam Soyuz semalam dalam dua sesi iaitu pada pukul 10 pagi dan 5 petang.

‘‘Bahan-bahan kajian telah dapat disediakan dengan sempurna dan telah lulus dalam ujian penyediaan yang ditetapkan oleh pihak Rusia dan ISS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan angkasawan negara diberi tugas tambahan selain menjalankan tiga penyelidikan berkenaan, Jamaluddin berkata, setakat ini beliau belum dimaklumkan apa-apa berhubung perkara tersebut.

Thursday, September 13, 2007

Gempa bumi skala 7.9 di Padang / Bengkulu Sumatra Indonesia

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Pada saat umat Islam membuat persiapan menyambut kedatangan 1 Ramadan, penduduk di sekitar rantau Asia Tenggara dan Lautan Hindi digemparkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di Bengkulu, Sumatera Selatan, Indonesia malam ini.

Gempa bumi pada pukul 7.10 malam yang berpusat di Kepulauan Mentawai di selatan Sumatera itu menggegarkan kebanyakan negara di rantau ini termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand sehingga menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai di negara-negara itu cemas melarikan diri ke tempat selamat.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gegaran yang berlaku pada pukul 6.10 petang waktu Indonesia itu berpusat pada kedalaman 15.6 kilometer di bawah dasar laut Kepulauan Mentawai yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Bengkulu.

Kekuatan gempa tersebut direkodkan sebagai 8.2 pada skala Richter USGS dan Agensi Meteorologi Jepun, tetapi hanya 7.9 pada skala alat pengesan gempa pihak berkuasa Indonesia.

Amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu bagi negara-negara di kawasan Lautan Hindi, bagaimanapun, ditarik balik apabila ombak gergasi yang dikesan di perairan Padang, Sumatera tidak membahayakan dengan ketinggian yang dicatatkan hanya antara satu hingga tiga meter.

Agensi Meteorologi Indonesia menyatakan ancaman tsunami berakhir selepas dua jam gempa bumi itu berlaku.

Tsunami yang melanda wilayah Aceh, juga di Sumatera, pada Disember 2004 akibat gempa bumi berukuran 9.15 pada skala Richter telah mengorbankan 132,000 nyawa selain 37,000 orang dilaporkan hilang.

Dalam gempa hari ini, antara kawasan yang terjejas teruk ialah wilayah Bengkulu, Sumatera Barat, sebahagian wilayah Riau manakala daerah Lampung terputus bekalan elektrik dan telefon.

Malam ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengisytiharkan darurat bagi Bengkulu dan Sumatera Barat.

Sehingga pukul 11 malam ini, tujuh orang dilaporkan terbunuh di Bengkulu manakala beberapa orang lagi turut mengalami nasib yang sama di Padang apabila beberapa buah bangunan termasuk sebuah pusat beli-belah yang padat pengunjung terbakar akibat litar pintas ekoran gempa yang berlaku.

Sehingga kini perhubungan ke kepulauan Mentawai terputus akibat gempa tersebut, menyebabkan berita mengenai jumlah kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda dari kawasan berkenaan tidak dapat diperoleh.

Bagaimanapun, laporan tidak rasmi menyebut bahawa kepulauan berkenaan musnah teruk akibat bencana alam itu dan penduduk yang terselamat melarikan diri ke kawasan tinggi untuk mengelakkan ancaman tsunami.

Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia sedang bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di celah-celah runtuhan bangunan khususnya di kawasan pesisir pantai di empat wilayah berkenaan.

Sebahagian penduduk pula terpaksa menggunakan lilin untuk meneruskan sembahyang tarawih sempena Ramadan yang bermula malam ini.

Selepas gempa di Kepulauan Mentawai, tidak lama kemudian Sumatera sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang berlaku 113 kilometer di barat daya bandar Jambi dan gempa susulan berukuran 6.6 pada skala Richter di Bengkulu.

Gegaran itu turut dirasai hingga ke Pulau Nias di bahagian barat Sumatera Utara, Bukit Tinggi, Pekan Baru, Palembang dan Jambi serta sebahagian besar Jawa Barat termasuk kota Jakarta dan Bandung.

Dalam pada itu, wakil Utusan Malaysia di Jakarta, Sopha Sulaiman melaporkan beberapa bangunan tinggi di Jakarta yang terletak 600 kilometer dari pusat gempa turut bergoyang selama beberapa minit mengakibatkan orang ramai bergegas menuruni tangga untuk menyelamatkan diri dan berkumpul di tanah lapang.

Stesen-stesen televisyen MetroTV dan SCTV melaporkan, gempa yang berlaku beberapa saat itu menyebabkan beberapa rumah runtuh dan retak.

Suasana kelam kabut itu juga berlaku di beberapa buah hospital hingga para pesakit dibawa keluar dari wad, sementara warga di bandar Bengkulu berkumpul di depan rumah kerana bimbangkan berlaku gempa kali kedua.

Gegaran akibat gempa malam ini dilaporkan tidak sekuat gempa yang berlaku di barat laut Indramayu, bahagian utara Pulau Jawa, yang berukuran 7.5 skala Richter pada 9 Ogos lalu.

Namun demikian penduduk dan pekerja pejabat yang tinggal di bangunan tinggi di Jakarta bergegas turun melalui lif dan tangga kecemasan setelah terasa goyangan yang kuat.

Sementara itu, pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Andalas, Padang memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak meninggalkan kediaman masing-masing memandangkan kawasan gempa itu terletak kira-kira 700 kilometer dari Bengkulu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar menjelaskan, beliau telah menghubungi para pelajar perubatan Malaysia di Padang selepas gempa itu berlaku dan meminta mereka berkumpul di hospital yang telah ditetapkan jika perlu.

“Terdapat kira-kira 270 pelajar Malaysia di Padang. Tiada pelajar kita menuntut di Bengkulu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pihak Kedutaan Malaysia telah membuat persiapan dan meminta para pelajar itu mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya gempa berlaku.

“Ibu bapa pelajar kita di Malaysia tidak perlu risau kerana kedutaan kita sentiasa menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya lagi.

Gempa bumi terakhir berlaku di Jawa Timur pada pukul 1.36 pagi tiga hari lalu yang berukuran 4.9 pada skala Richter. Gegaran itu menyebabkan berpuluh buah rumah mengalami kerosakan dan ranap walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Perkhidmatan Maklumat Lautan Kebangsaan India turut mengeluarkan amaran tsunami untuk Pulau Andaman dan Nicobar tetapi tiada sebarang amaran dikeluarkan untuk tanah besar.

Tuesday, September 11, 2007

Wawancara Bersama Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary

"Orang Melayu boleh berjaya asal tekun berusaha serta sabar diuji masa - Atasi sikap malu dan malas"


MUKADIMAH

JARUM jam sudah menjangkau tengah malam ketika dua wartawan Mingguan Malaysia rancak menemu bual Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tokoh korporat Melayu yang latar hidupnya tidak begitu banyak diketahui.

Isu yang dibincangkan hanya satu - tentang sikap sesetengah korporat Melayu berjaya yang keberatan turun ke bawah membantu anak bangsa. Isu itu dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

"Saya pun naik semangat bercakap tentang hal orang Melayu ini walaupun tadi ada rasa mengantuk sedikit,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan SITI MARIAM MD. ZAIN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, tengah malam Rabu lalu.

Syed Mokhtar adalah salah seorang daripada orang Melayu berjaya yang diketahui umum banyak menyumbang kepada pengembangan anak bangsa. Beliau menubuhkan Yayasan Al-Bukhary yang antara projek utamanya ialah memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pintar yang kurang berkemampuan.

"Saya dulu tidak ada peluang. Setelah ada rezeki ini kenapa saya tidak boleh tolong orang miskin yang boleh pergi jauh,'' katanya yang bersekolah setakat tingkatan lima.

Dalam wawancara ini, Syed Mokhtar juga ditanya tentang tanggapan umum terhadapnya yang dilihat sebagai seorang ahli perniagaan yang kerjanya mengambil alih kepentingan demi kepentingan pelbagai syarikat.

"Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tidak ada esok,'' katanya. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Syed Mokhtar mengakui bahawa semua itu bukan untuk dirinya sendiri sebaliknya beliau mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

Wawancara ini adalah antara sedikit yang pernah diberikan oleh tokoh korporat yang selalu cuba mengelak daripada tumpuan media. Ditanya kenapa beliau bersedia ditemu bual pada kali ini, Syed Mokhtar menjawab: ``Saya mahu membela diri.''

"Saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan serong tentang diri saya.''

MINGGUAN: Bagaimanakah Tan Sri melihat hubung kait diri Tan Sri dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

SYED MOKHTAR: Saya menikmati jasa dasar itu semasa memulakan perniagaan dulu, daripada pinjaman Mara sehinggalah kepada bangunan kedai UDA. Saya produk DEB tetapi semua ini melalui proses selama 34 tahun.

MINGGUAN: Dalam tempoh lebih 34 tahun ini, apakah rahsia kejayaan Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.

Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.

Saya memang sudah buat keputusan dari awal bahawa saya mahu buat sendiri. Saya tidak gadai lesen dan permit yang saya ada.

MINGGUAN: Ini tentang know how atau know who?

SYED MOKHTAR: Semasa mula berniaga dulu saya tidak ada kenal sesiapa. Tetapi selepas saya mengembangkan perniagaan ini memang faktor know who itu penting juga. Bangsa lain tidak mengapa tetapi orang Melayu dalam berniaga kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.

Dasar DEB itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik.

Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.

Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri - dapat empat permit lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak dijual.?

SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan hati saya buat kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori lagi saya boleh beli kalau saya rajin berusaha. Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya tentu kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua lagi permit itu saya simpan untuk masa depan.

MINGGUAN: Maksudnya kena sabar menunggu?
SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.

Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup menggadainya.

MINGGUAN: Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?
SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka. Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.

Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.

MINGGUAN: Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?

SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.

Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya, siapa pun tidak suruh.

Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

Dalam hal ini, apabila saya masuk ke dalam masyarakat saya tidak lihat orang itu UMNO atau Pas. Kalau orang itu memerlukan bantuan, kalau boleh ditolong, saya tolong. Dalam hal-hal kemasyarakatan tidak ada UMNO dan Pas.

MINGGUAN: Maksudnya?
SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian politik itu terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks masyarakat itu kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti bersatu.

MINGGUAN: Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?

SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO, ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang akan menentukannya.

Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong orang Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang Melayu boleh jadi kuat.

Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang agenda Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi selepas itu kita senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?

SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini sebagai kewajipan kerana mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana? Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat. Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke bawah.

MINGGUAN: Kenapa ini berlaku?

SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan nilai sehingga hidup jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh hisap curut RM500. Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh turun ke bawah membantu orang. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik. Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain. Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha, apabila orang lain usaha, mereka marah.

MINGGUAN: Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?

SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

MINGGUAN: Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?

SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada orang lain, ia juga satu amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada mereka. Sekarang kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu tanggungjawab kepada saya, bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju, dapat bonus dan sebagainya.

MINGGUAN: Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?

SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.

Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu saya buat seorang.

Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.

MINGGUAN: Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya.

Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat, tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

MINGGUAN: Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?

SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak mengekalkan kumpulan ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan semua projek di bawah yayasan.

Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari negara-negara Islam - 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam. Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas tuisyen itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti itu pula adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada kemampuan.

Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.

MINGGUAN: Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di kalangan siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri lakukan?

SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami mengkaji masalah ini dan mengambil sekumpulan mereka bekerja dan memberikan latihan. Insya-Allah kami akan sentiasa mencari perniagaan baru, mungkin daripada swasta atau kerajaan. Kalau daripada kerajaan orang mungkin akan menjadikannya sebagai isu lagi. Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.

MINGGUAN: Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?

SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya. Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu. Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang bertanya apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?

MINGGUAN: Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.

SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu. Saya ini ada dibenci orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang yang ada dan hendak jadi kaya seorang. Kaya apa? Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara saja. Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tetapi apa yang saya lakukan sekarang. Tetapi banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

MINGGUAN: Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?

SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu bermasalah; saya membeli untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan bangsa lain atau orang Melayu sendiri yang boleh membawa lebih kerosakan. Saya tidak menggadaikan hak dan kepentingan orang kita. Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri - syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan untuk ke depan apabila ada peluang. Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya sebagai satu peluang juga - bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu. Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Orang kita terlupa bahawa bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi negara ini. Siapa pula yang memberikan pelbagai kemudahan untuk membolehkan mereka memegang kepentingan itu? Siapa pun tidak kata apa. Inilah masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik Pas dan UMNO; di bandar, berpecah kerana ini. Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus kepentingan orang Melayu.

MINGGUAN: Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?

SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok, bukan lebai pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu kita minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan. Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.

Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya orang Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya sebagai satu isu. Inilah masalahnya. Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau kurang, beri kurang.
MINGGUAN: Tan Sri ada sikap yang begitu sensitif kepada keperluan anak bangsa dan saudara seagama. Soalnya kenapakah tidak banyak korporat Melayu yang ada sikap sebegini?

SYED MOKHTAR: Mungkin kerana masalah didikan atau kerana mereka naik dengan begitu mudah. Atau mungkin juga kerana pergaulan mereka. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal-usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan. Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
MINGGUAN: Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?
SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat begini juga tetapi dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa mereka akan buat lebih lagi pada masa akan datang. Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai oleh tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya seorang hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur saya hanya tinggal 17 tahun saja lagi. Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan seperti yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan kenapa tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya selari; sambil mencari rezeki saya juga menyumban semula kepada masyarakat. Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.

MINGGUAN: Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?

SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

MINGGUAN: Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?

SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum banyak yang pulih semula.

Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.

Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.

MINGGUAN: Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi susah hendak tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan kepada mereka?

SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai kereta Porsche atau duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah juga tanggungjawab untuk membantu anak bangsa. Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja. Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja. Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus memajukan diri.

MINGGUAN: Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?

SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak dapat lebih dan tidak dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada orang Melayu: Beri masa sedikit kepada apa yang hendak diusahakan. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju. Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan kemahiran. Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa itu tidak mengapa. Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

MINGGUAN: Bolehkah orang Melayu maju?

SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau hendak jadi apa pun, jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing sehingga kukuh bertapak.

Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
MINGGUAN: Cara hidup Tan Sri bagaimana?

SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang tidak boleh ada fleksibiliti. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tetapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana. Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang yang tidak main itu lebih bagus. Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.

Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah memadai.

MINGGUAN: Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan ialah beli kereta mewah.

SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan kita memberikan gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu tetapi bukan itu matlamatnya.

Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu yang perlu kita lakukan.

MINGGUAN: Di kalangan orang Melayu masih ada pemikiran bahawa kerajaan perlu menolong mereka. Bagaimanakah Tan Sri melihat realitinya?

SYED MOKHTAR: Saya ingat kena tengok tahap-tahapnya. Kerajaan kena tolong orang Melayu. Orang Melayu mesti naik berperingkat-peringkat. Bantuan kerajaan sentiasa ada. Sistemnya sudah ada. Kalau orang Melayu masuk ke dalam sistem itu, mereka sudah boleh jalan ke depan.

Tetapi seperti saya katakan tadi mereka perlu melalui proses ujian masa. Mereka yang perlukan bantuan ini ialah mereka yang hendak cepat dan tidak faham apa. Orang Melayu sebenarnya tidak perlu meminta kerajaan membantu kerana dasar itu memang sudah ada. Orang Melayu sebenarnya yang kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

Saya mendapat nikmat daripada DEB sejak awal pelaksanaannya lagi. Ketika itu lebih susah kalau hendak dibandingkan dengan peluang-peluang yang ada sekarang.

MINGGUAN: Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?

SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada air segelas, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

MINGGUAN: Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?

SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira. Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur, tengok lampu-lampu yang cantik.

Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa yang saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang daripada itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

MINGGUAN: Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?

SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa. Saya kata kepada kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya.
MINGGUAN: Kenapa beri wawancara sekarang?

SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.

Kepada saya, apa yang benar itu akan kekal. Saya segan kerana kerja saya yang sedikit ini orang besar-besarkan. Niat saya baik tetapi orang fikir sebaliknya. Saya bukan orang jahat. Saya asal orang miskin.

Saya pun sebenarnya bukan hendak menonjol-nonjolkan diri. Saya hormat kepada pemimpin. Saya akan sama-sama membantu. Pemimpin datang dan pergi tetapi saya hormat kedudukan itu. Perjuangan yang mereka tentukan itu akan terus saya bantu.

BACA :

Bank Muamalat milik Tan Sri Mokhtar
Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary Derma RM127 juta
Bina Universiti di Johor bernilai RM 700 juta

KOMEN SAYA :

Alhamdulillah, saya gembira dengan jutawan Muslim yang mempunyai kualiti dan pemikiran begini. Memang amat baik dan banyak yang bertepatan dengan kehendak Islam.

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Sunday, September 9, 2007

23 perusuh ditahan, tujuh cedera termasuk empat anggota polis

KUALA TERENGGANU 9 Sept — Seramai 23 orang dipercayai pengikut parti pembangkang ditahan kerana merusuh dan bertindak agresif terhadap anggota polis setelah diarahkan bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Seramai tujuh orang termasuk empat anggota polis turut tercedera akibat dipukul oleh perusuh dan dibaling dengan pelbagai objek seperti batu, besi, kayu, dan botol kaca, malahan bom molotov dalam perhimpunan haram yang dihadiri kira-kira 500 orang itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, tiga daripada anggota polis itu dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah diserang sekumpulan lelaki ketika mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud.

“Kira-kira pukul 11.45 malam, anggota terbabit Azmi Hussein, 29, sedang menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn ketika dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukul anggota itu dengan kayu.

“Semasa hendak beredar, seorang lagi lelaki telah memegang bahu anggota berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada cawangan khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, dua lelaki, masing-masing berumur 21 dan 38 tahun daripada kumpulan yang menyerang anggota FRU itu turut tercedera di bahagian bahu dan leher akibat tembakan yang dilepaskan itu dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat kecederaan di kepala dipercayai akibat terkena balingan batu, katanya.

Katanya, kenderaan orang awam dan kenderaan polis turut rosak akibat dibaling batu oleh para perusuh.

Ayub berkata, polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu disebabkan ketidaksesuaian tempat untuk diadakan ceramah kerana terletak dalam kawasan perumahan pegawai kerajaan.

“Sebelum ini kita telah memanggil penganjur yang bertanggungjawab membawa Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim serta beberapa penceramah lain termasuk Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP yang dijadualkan berceramah dalam perhimpunan itu, bagi membincangkan soal permit.

“Kita bercadang untuk meminta mereka memindahkan kawasan ceramah ke Rusila. Namun sehingga pukul 6 petang semalam, wakil mereka gagal hadir untuk berbincang tentang perkara itu,” katanya.

Ayub berkata, bagaimanapun kira-kira pukul 9 malam tadi polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan menyebabkan polis mengambil langkah pencegahan di kawasan perhimpunan itu termasuk mengadakan sekatan jalan.

Beliau berkata, pada kira-kira pukul 10 malam, seramai 300 hingga 400 orang cuba merempuh sekatan tersebut dengan bertindak agresif terhadap kira-kira 350 anggota polis dan FRU dengan membaling pelbagai objek termasuk bom molotov, kayu, besi, botol dan batu.

Pada masa yang sama katanya, polis turut menahan sebuah bas di Jalan Temasya Batu Buruk yang cuba masuk ke kawasan kejadian dan perbincangan diadakan supaya mereka bersurai namun mereka enggan menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air.

Ayub berkata, polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali meminta perusuh bersurai namun keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak lebih agresif.

Melihat keadaan yang semakin tegang, beliau berkata, polis kemudiannya mengambil pendekatan berundur bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku namun keadaan itu telah diambil kesempatan oleh perusuh untuk memusnahkan harta benda awam termasuk mencabut pokok hiasan, pasu bunga dan lampu isyarat.

Katanya, keadaan menjadi reda kira-kira pukul 2 pagi dengan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Artikel Terdahulu


Polis kuatkuasa undang-undang tanpa campur tangan kerajaan, kata Najib

PETALING JAYA 9 Sept — Tindakan pihak polis dalam menangani rusuhan oleh penyokong parti pembangkang di Terengganu malam tadi adalah berasas kepada tanggungjawab mereka untuk menguatkuasakan undang-undang negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata. mereka tidak perlu merujuk kepada kerajaan untuk melaksanakan tugas mereka, sebaliknya boleh bertindak di atas budi bicara sendiri.

“Ini merupakan bidang kuasa pihak polis. Pihak kerajaan tidak beri apa-apa arahan kerana pihak polis telah menguatkuasakan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyertai pertandingan Golf Jemputan Business Times, di sini.

Najib yang diminta mengulas mengenai kejadian kira-kira 500 penyokong parti pembangkang merusuh di Terengganu malam tadi yang turut menyebabkan tujuh cedera termasuk empat anggota polis, berkata beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, penyokong pembangkang bertindak agresif apabila diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Mereka antara lain bertindak menyerang anggota polis serta membaling pelbagai objek seperti batu, besi, kayu, dan botol kaca, serta bom molotov.

Polis menahan 23 orang dipercayai pengikut parti pembangkang kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Sambil mengingatkan penyokong Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bahawa undang-undang negara terpakai untuk semua, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, tidak ada unsur pilih kasih pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut.

“Mana-mana pihak termasuk parti Umno dan parti-parti komponen BN kalau kita nak adakan apa-apa majlis kita mesti memperolehi permit daripada pihak polis.

“Jadi peraturan ini adalah untuk semua pihak bukan saja untuk pembangkang tapi untuk parti-parti kerajaan juga,” katanya.

Najib berkata, pihak pembangkang juga harus menerima hakikat bahawa mereka terikat dengan undang-undang negara ini.

“Kalau kita tak patuh kepada undang-undang maka negara kita ini boleh jadi anarkilah, tak ada orang yang hormat pada undang-undang negara,” katanya

Artikel Terdahulu:

Wednesday, September 5, 2007

Dr. Mahathir stabil selepas 5 jam dibedah

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pintasan koronari selama lima jam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu dibawa masuk ke dewan pembedahan pada pukul 8.45 pagi dan pembedahan ke atasnya bermula pada pukul 9.40 pagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IJN, pembedahan yang diketuai oleh pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang itu selesai kira-kira pukul 3.05 petang.

Selepas itu Dr. Mahathir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kardiologi (ICU) pada pukul 3.30 petang dan beliau dijangka sedar sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

Menurut kenyataan itu, ketika ini beliau masih diletakkan di bawah pengawasan doktor di ICU.

Ini merupakan pembedahan pintasan koronari kali kedua Dr. Mahathir, 81, selepas pembedahan pertama pada 24 Januari 1989 di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sumber


Thursday, August 30, 2007

Pesta Bola Merdeka Edisi ke 39 : Malaysia Menang

SHAH ALAM – Sambutan ulang tahun ke-50 Kemerdekaan negara bertambah ceria apabila skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 menghadiahkan gelaran kejuaraan Pestabola Merdeka Edisi ke-39 selepas menewaskan penyandang juara, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Malam penuh gemilang menyaksikan tiga gol menerusi Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-12), jaringan sendiri Myanmar Moe Win (m-55) dan Safee Sali (m-60) mengangkat semula martabat bola sepak negara dengan aksi paling menakjubkan disaksikan kira-kira 45,000 penyokong.

Sorakan paling gemuruh dan penonton paling ramai tahun ini menyaksikan aksi bertenaga melihat betapa anak didik B. Sathianathan membuktikan bola sepak Malaysia masih belum berkubur.

Kemenangan tersebut buat kali ke-11 turut meleburkan kemarau 14 tahun tanpa gelaran apabila kali terakhir skuad kebangsaan bergelar juara pada kejohanan ini ketika barisan yang diketuai oleh Dollah Salleh dan Azman Adnan menewaskan Korea Selatan B 3-1 pada 1993.

Lebih manis kejayaan paling gemilang tahun ini menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia esok turut disaksikan buat pertama kali Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sumber

Wednesday, August 8, 2007

Rusia tawar misi ke Marikh kepada Angkasawan Malaysia

Anda mungkin tidak percaya. Manusia akan ke planet Marikh yang berjarak 78.3 juta kilometer dengan perjalanan setahun pergi dan setahun kembali ke bumi.

Lebih mendebarkan apabila angkasawan negara yang berjaya ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini turut ditawarkan oleh kerajaan Rusia untuk menyertai misi ke planet itu.

Jika misi tersebut berjaya yang tidak dinyatakan tarikhnya, mereka bakal menjadi manusia pertama menjejak planet merah itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ruddin Abdul Ghani berkata, tawaran daripada kerajaan Rusia itu telah disampaikan kepada kedua-dua calon angkasawan negara baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan amat mengagumi persetujuan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed yang sedang menjalani latihan bersama Agensi Angkasawan Eropah di Star City, Moscow dengan tawaran berkenaan.

Sumber

Thursday, July 26, 2007

Harian Metro Online Berwajah Baru

Harian Metro Online sekarang telah dikenali sebagai My Metro. Saya tak berapa pasti sejak bila ianya berubah wajah. Tapi yang pasti ianya lebih menarik daripada yang dulu.

Maaf, majlis rasmi pelancaran laman web berwajah baru Harian Metro/Metro Ahad telah diadakan di Gelang Patah, Johor pada 07.07.2007. Sila kunjungi My Metro untuk melihat video terkini pelancarannya

Mazidul Akmal Sidik bebas tuduhan salah guna dadah

JOHOR BAHARU 26 Julai — Pengacara TV3, Mazidulakmal Sidik, dan seorang penerbit stesen televisyen yang sama, Fadzli Ramli, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan menyalahguna dadah.

Majistret Rasidah Roslee membuat keputusan itu setelah mendapati ujian air kencing oleh Jabatan Kimia terhadap kedua-duanya negatif.

Pada 14 Mei lepas, Mazidulakmal, 40, bersama Fadzli Ramli, 40, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah methamphetamine ke dalam tubuh mereka di sebuah bilik di Groove City Sdn Bhd, Jalan Abdullah Tahir di sini pada 2.45 pagi 12 Mei.

Turut dituduh bersama mereka ialah Johari Sarkon, 34, dan dua wanita, Tumijah Adras, 34, dan Umaisyah Abdul Rahim, 25, serta anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Mohamed Nasir Jamil, 23, dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johari Mohamed, 34.

Mereka ini akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 24 Sept ini. Mazidulakmal serta Fadzli diwakili peguambela, Datin Freeda Sabapathy.


Sumber


Sunday, July 22, 2007

Pelan pembangunan Koridor Pantai Timur akan diumum

Kota Bharu

TUMPAT 20 Julai – Kerajaan akan mengumumkan pelan pembangunan Koridor Pantai Timur dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pelan tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membangunkan kawasan Pantai Timur selari dengan arus perdana.

“Di bawah konsep ini kita akan lihat bagaimana kita boleh beri perhatian kepada kawasan yang kurang pembangunan termasuk cadangan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan.

“Ia merupakan salah satu perancangan Barisan Nasional (BN) untuk memajukan Kelantan walaupun negeri ini diperintah oleh PAS,’’ katanya.

Sumber

Monday, July 16, 2007

Peruntukan RM100 juta untuk Kampung Baru KL

Kampung Baru daripada gambar foto satelit

KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan Kampung Baru di sini agar ia tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bagi membiayai pembangunan semula tapak pasar minggu serta menaik taraf jalan raya di sekitar kampung tersebut.

Beliau berkata, ia hanya peruntukan permulaan kerana banyak lagi yang akan disalurkan oleh kerajaan.

“Peruntukan ini membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap kepentingan Melayu di bandar.

“Kita ingin orang Melayu di tengah kota raya seperti Kuala Lumpur menjadi bangsa yang boleh kita banggakan kerana kuat dan gagah perkasa dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sumber

Tengku Abdullah letak semua jawatan FAM

KUALA LUMPUR 15 Julai – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah secara rasmi meletakkan semua jawatan dalam badan induk itu berkuat kuasa hari ini selepas 15 tahun menjawat jawatan tersebut.

Baginda tidak menyatakan alasan peletakan jawatan itu namun ia dipercayai ada kaitan dengan prestasi buruk pasukan kebangsaan.

Skuad negara yang dibimbing oleh jurulatih Norizan Bakar tersingkir daripada memburu tempat ke suku akhir selepas kekalahan memalukan 1-5 kepada China dalam perlawanan pertama dan semalam diaibkan pula oleh Uzbekistan apabila tunduk 0-5.

Dalam reaksi kepada kekalahan pasukan kebangsaan dengan China itu yang turut dikritik hebat oleh peminat di seluruh negara, Tengku Abdullah ternyata kecewa dan hampa.

Surat peletakan Tengku Abdullah diterima oleh Pegawai Khas kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Husin Mohamad Anwar kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Sumber

Tuesday, July 3, 2007

Dato' Tuan Guru Nik Aziz Masuk Hospital

KOTA BHARU 2 Julai–Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak petang kelmarin setelah mengadu keletihan akibat jadual kerja yang padat.

Difahamkan, keadaan kesihatan Mursyidul Am Pas itu tidak membimbangkan setelah disahkan tiada sebarang kaitan berhubung masalah jantung yang pernah dialaminya sebelum ini.

Setiausaha Akhbar beliau, Mohd. Saiba Yaakob ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Nik Aziz hanya dinasihatkan doktor supaya terus berada di dalam wad bagi membolehkannya berehat selain mendapat pemerhatian lanjut.

Katanya, ini kerana pemimpin itu asalnya mengadu keletihan setelah melalui jadual kerja yang padat termasuk beberapa program ceramah di sebelah malam terutama selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir Selasa lalu.

‘‘Justeru untuk memastikan Menteri Besar mendapat rehat yang sepenuhnya dengan tidak terganggu dari sebarang program, doktor menasihatkannya supaya terus berada di wad walaupun diikutkan keadaannya telah sihat.

‘‘Insya Allah jika tidak ada apa-apa, beliau (Nik Abdul Aziz) dijangka mempengerusikan sendiri mesyuarat mingguan Exco Rabu ini,” katanya.




Sementara itu, Pengarah HUSM, Dr. Zaidon Kamari berkata, Nik Aziz akan terus berada di wad sehari dua lagi untuk terus diberikan pemerhatian lanjut.

Katanya, bagaimanapun kesihatannya tidak membimbangkan, malah keadaannya bertambah baik dari hari ke hari sejak dimasukkan ke wad petang kelmarin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post