Showing posts with label Polis. Show all posts
Showing posts with label Polis. Show all posts

Monday, November 5, 2007

Bang Bang Boom TV3: Polis rela jadi pak pacak?


HarakahDaily.net

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Memang dijadikan menarik dan lucu, namun realiti secara sedar mahupun tidak, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat sanggup 'meluangkan masa' dan 'rela' menjadi pelakon tambahan walaupun dalam keadaan jenayah negara berada di tahap yang kronik.

Ini berikutan ramai pihak yang begitu kecewa lantaran kesanggupan PDRM menonjolkan diri mereka sebagai 'pak pacak' dan pelakon lawak dalam rancangan berbentuk komedi realiti Tv3 'Bang Bang Boom' semalam yang memaparkan adegan lakonan aksi 'mengenakan' pihak tertentu.

Dalam rancangan jam 11 malam itu memaparkan babak seorang individu yang menjadi 'mangsa' Bang Bang Boom telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki mengedar dadah.

Mangsa yang tidak tahu tangkapan atau serbuan itu sekadar lakonan, telah menjadi panik dan menimbulkan suasana yang sedikit tegang lantaran tidak bersalah seperti didakwa oleh pihak polis sehingga mangsa dilihat merayu-rayu membela diri dan seolah-olah menangis dengan kejadian yang tidak di sangka.

Lakonan 'penuh serius' dan 'aksi mendebarkan dada' mangsa ini telah dibantu oleh tiga anggota polis siap bersenjata berpakaian seragam bersama dengan sebuah kereta peronda polis.

Tujuannya adalah supaya babak itu menjadi 'real' dan untuk mendatangkan rasa takut serta gementar mangsa terbabit yang akhirnya menjadi bahan lawak kerana telah tertipu dengan lakonan aksi tadi.

"Sanggup polis jadi pelakon, sedangkan banyak tugas lain lagi yang boleh dibuat malah, babak ini seolah-olah menjadikan pihak polis sebagai bahan lawak dan pak pacak," kata seorang pemanggil Harakahdaily.net yang mahu dikenali sebagai Afiq berasal daripada Gopeng.

Beliau yang kesal kerana polis sanggup 'bersekongkol' untuk menakutkan mangsa sedangkan motifnya bukanlah bertujuan untuk mendidik masyarakat tetapi sebagai bahan lucu untuk tontonan ramai.

Kata seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam, Shuhaibah Megat, 23, yang menghantar email pagi ini sangsi dengan PDRM yang membenarkan anggotanya turut terlibat dalam aksi tersebut.

"Jika berlaku musibah, seperti kecederaan akibat senjata yang digunakan, mangsa pengsan atau berlaku kejadian yang tidak diingini, siapakah yang harus dipersalahkan kerana tanggungjawab polis bukannya sebagai pelakon tetapi pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara dan melindungi rakyat secara amnya," katanya kesal dengan adegan tersebut.

Dalam pada itu, turut tidak berpuas hati dengan rancangan tersebut termasuk pihak PDRM ialah seorang penonton rancangan tersebut semalam,Khairul Samad,32.

"Sedangkan kadar jenayah semakin meningkat, Kes Nurin yang masih tidak selesai termasuk pelbagai kepincangan dalam oraganisasi PDRM, pihak polis masih berupaya 'meluang masa' untuk berlakon rancangan lawak yang tidak mendatang sebarang faedah ini," katanya.

"Sudah selesaikah semua kerja atau tidak ada tugas langsung sehingga, polis boleh buat 'part time job' pula untuk menghiburkan para penonton," katanya yang dengan nada sinis namun menyokong rancangan polis yang lain yang disiarkan stesen TV yang memaparkan keberanian anggotanya membanteras jenayah dan mengundang semangat para penonton untuk menghormati kerjaya polis ini.

Sunday, September 9, 2007

23 perusuh ditahan, tujuh cedera termasuk empat anggota polis

KUALA TERENGGANU 9 Sept — Seramai 23 orang dipercayai pengikut parti pembangkang ditahan kerana merusuh dan bertindak agresif terhadap anggota polis setelah diarahkan bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Seramai tujuh orang termasuk empat anggota polis turut tercedera akibat dipukul oleh perusuh dan dibaling dengan pelbagai objek seperti batu, besi, kayu, dan botol kaca, malahan bom molotov dalam perhimpunan haram yang dihadiri kira-kira 500 orang itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, tiga daripada anggota polis itu dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah diserang sekumpulan lelaki ketika mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud.

“Kira-kira pukul 11.45 malam, anggota terbabit Azmi Hussein, 29, sedang menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn ketika dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukul anggota itu dengan kayu.

“Semasa hendak beredar, seorang lagi lelaki telah memegang bahu anggota berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada cawangan khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, dua lelaki, masing-masing berumur 21 dan 38 tahun daripada kumpulan yang menyerang anggota FRU itu turut tercedera di bahagian bahu dan leher akibat tembakan yang dilepaskan itu dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat kecederaan di kepala dipercayai akibat terkena balingan batu, katanya.

Katanya, kenderaan orang awam dan kenderaan polis turut rosak akibat dibaling batu oleh para perusuh.

Ayub berkata, polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu disebabkan ketidaksesuaian tempat untuk diadakan ceramah kerana terletak dalam kawasan perumahan pegawai kerajaan.

“Sebelum ini kita telah memanggil penganjur yang bertanggungjawab membawa Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim serta beberapa penceramah lain termasuk Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP yang dijadualkan berceramah dalam perhimpunan itu, bagi membincangkan soal permit.

“Kita bercadang untuk meminta mereka memindahkan kawasan ceramah ke Rusila. Namun sehingga pukul 6 petang semalam, wakil mereka gagal hadir untuk berbincang tentang perkara itu,” katanya.

Ayub berkata, bagaimanapun kira-kira pukul 9 malam tadi polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan menyebabkan polis mengambil langkah pencegahan di kawasan perhimpunan itu termasuk mengadakan sekatan jalan.

Beliau berkata, pada kira-kira pukul 10 malam, seramai 300 hingga 400 orang cuba merempuh sekatan tersebut dengan bertindak agresif terhadap kira-kira 350 anggota polis dan FRU dengan membaling pelbagai objek termasuk bom molotov, kayu, besi, botol dan batu.

Pada masa yang sama katanya, polis turut menahan sebuah bas di Jalan Temasya Batu Buruk yang cuba masuk ke kawasan kejadian dan perbincangan diadakan supaya mereka bersurai namun mereka enggan menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air.

Ayub berkata, polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali meminta perusuh bersurai namun keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak lebih agresif.

Melihat keadaan yang semakin tegang, beliau berkata, polis kemudiannya mengambil pendekatan berundur bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku namun keadaan itu telah diambil kesempatan oleh perusuh untuk memusnahkan harta benda awam termasuk mencabut pokok hiasan, pasu bunga dan lampu isyarat.

Katanya, keadaan menjadi reda kira-kira pukul 2 pagi dengan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Artikel Terdahulu


Tragedi Batu Buruk: Polis 'Hilang Akal' Hadiahkan Peluru Hidup Untuk Surai Majlis Ceramah

Harakah: Aniz Nazri
Sun | Sep 09, 07 | 04:01:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) -Tindakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, serta pihak polis 'menghadiahkan' peluru hidup kepada rakyat yang berhimpun secara aman dilihat bagaikan sudah 'hilang akal' dalam negara yang sering melaungkan demokrasi.

ImageNaib Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika dihubungi sebentar tadi berkata tragedi di Batu Buruk, Kuala Terengganu malam tadi merupakan kejadian kali pertama beliau mendengar pihak polis menggunakan peluru hidup apabila berhadapan dengan rakyat yang berhimpun secara aman untuk mendengar ceramah politik.

"Apabila polis menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan demonstrasi, bagi saya, ia merupakan satu rekod selepas 50 tahun kita merdeka," tegasnya.

"Ini bukannya perhimpunan membantah dasar kerajaan. Ini adalah ceramah yang lazim diadakan pada setiap malam di negara ini. Ia perkara biasa, dan pihak polis sama sekali tidak perlu menggunakan kekerasan, apatah lagi menggunakan peluru hidup, untuk menyuraikannya.

Selama ini, ceramah yang dianjurkan oleh PAS, KeADILan dan DAP tidak menimbulkan apa-apa masalah kecuali jika ia diganggu pihak polis," tegas beliau yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan FRU itu.

Beliau memberi respon demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku di Batu Buruk, Terengganu, malam tadi, yang mencetuskan ketegangan selepas pihak polis menghalang orang ramai daripada menghadiri ceramah anjuran Bersih (Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih) itu.

Mohamad juga dijadualkan memberi ceramah pada malam tersebut, bersama-sama Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim, dan anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP. Turut serta Dato' Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, seramai 350 anggota polis daripada pelbagai cawangan termasuk Polis Simpanan Persekutuan (FRU) serta dua trak penyembur air berasid dikejarkan ke tempat kejadian. Orang ramai dihalang ke lokasi ceramah sejak jam 2 petang semalam lagi.

Dua pemuda cedera parah ditembak peluru hidup oleh polis manakala berpuluh-puluh cedera dalam pertempuran antara orang ramai dan polis dalam insiden itu. Difahamkan seorang daripadanya masih dalam keadaan kritikal.

Kecederaan berlaku di pihak orang awam dan juga polis manakala berbelas-belas telah ditahan sehingga kini termasuklah wartawan TVPAS.

Dalam pada itu, Mohamad mendesak supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini memandangkan tindakan ganas yang dilakukan pihak polis. - mks.

Artikel Terdahulu:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Post